Jumaat, 19 Januari 2024 | 5:41pm
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon (kanan) beramah mesra dengan Muhammad Ridzwan (kiri) yang diiringi abangnya, Raff Iskandar di hotel penginapan pasukan Malaysia di Doha. Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon (kanan) beramah mesra dengan Muhammad Ridzwan (kiri) yang diiringi abangnya, Raff Iskandar di hotel penginapan pasukan Malaysia di Doha. Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

'Kami akan berjuang untuk anda'

DOHA: Kehadiran penyokong 'istimewa' Harimau Malaya, Muhammad Ridzwan Efendi di hotel penginapan pasukan, semalam menaikkan moral jurulatih dan pemain skuad negara menjelang pertembungan getir dengan Bahrain, esok.

Pada pertemuan itu, Ridzwan mengulangi kata-katanya bahawa orang lain ke stadium untuk lihat Malaysia menang, tetapi dia mahu dengar Harimau Malaya menang.

Ketua jurulatih, Kim Pan Gon dan beberapa pemain Harimau Malaya menjelaskan akan cuba memberikan yang terbaik untuk menggembirakan Ridzwan dan seluruh penyokong skuad negara.

"Terima kasih kerana menyokong kami, kami akan cuba yang terbaik dan mahu membuat anda gembira. Kami tahu anda berjuang untuk kami, kami juga akan berjuang untuk anda," kata Pan Gon ketika bertemu Ridzwan.

Sebelum aksi menentang Jordan, Selasa lalu, BH Online melaporkan kisah Ridzwan yang tetap berusaha untuk terbang ke Qatar bagi menyokong Harimau Malaya di Piala Asia 2023.

Semalam, dia yang cacat penglihatan sejak lahir dibawa bertemu dengan skuad Harimau Malaya termasuk Pan Gon serta beberapa pemain iaitu Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Shahrul Saad.

Terdahulu, kehadiran anak muda dari Perak itu disambut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman.

Sementara itu, Faisal meluahkan perasaan bangga apabila melihat Ridzwan yang cacat penglihatan sanggup datang dari jauh demi menyokong Harimau Malaya.

"Doakan pasukan kita, kami akan cuba yang terbaik. Saya sebagai pemain bangga tengok ada penyokong yang sanggup datang. Walaupun dia tak nampak tetapi dia ada hati untuk sokong pasukan kita," katanya.

Harimau Malaya akan menentang Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Jassim bin Hamad, esok dengan skuad Pan Gon memerlukan kemenangan untuk membuka peluang ke pusingan 16 terakhir.

Berita Harian X