Khamis, 18 Januari 2024 | 10:23pm
Ridzwan (dua kanan) bertemu dengan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim (dua kiri) di Doha, Qatar. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ridzwan (dua kanan) bertemu dengan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim (dua kiri) di Doha, Qatar. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

FAM tunai impian Ridzwan di Qatar

DOHA: Impian seorang peminat 'istimewa' Harimau Malaya, Muhammad Ridzwan Efendi untuk bertemu dengan pemain skuad negara tertunai di bumi Qatar.

Ia selepas Muhammad Ridzwan yang juga orang kelainan upaya dibawa bertemu dengan beberapa bintang Harimau Malaya termasuk Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad dan ketua jurulatih, Kim Pan Gon di hotel penginapan pasukan, di sini, hari ini.

Dia yang cacat penglihatan sejak lahir terlebih dahulu disambut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin selain turut disertai Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman.

Ridzwan yang ditemani abangnya, Raff Iskandar Erman mengakui amat gembira apabila dapat bertemu dengan barisan pemain Harimau Malaya.

Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon (kanan) beramah mesra dengan penyokong istimewa OKU Penglihatan, Muhammad Ridzwan (kiri) dan Raff Iskandar di hotel penginapan pasukan Malaysia sempena Piala Asia Qatar 2023 di Dusit, Doha. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

"Terima kasih kepada semua pihak terutama media dan FAM yang menunaikan impian saya di sini. Kalau boleh saya nak Malaysia buat yang terbaik lawan Bahrain. Jaringan tak kisah, janji saya nak dengar Malaysia menang," katanya.

BH Online sebelum ini melaporkan kisah Ridzwan yang tetap berusaha untuk terbang ke Qatar bagi menyokong Harimau Malaya di Piala Asia 2023.

Sementara itu, Raff Iskandar menjelaskan impian adiknya untuk bertemu pemain Harimau Malaya tercapai selepas kisah mereka yang dikeluarkan media tular di media sosial.

"Kami datang tak bawa apa-apa harapan, memang datang nak sokong pasukan Malaysia. Kemudian pada malam itu (sebelum aksi berdepan Jordan), media menemu bual kami.

"Terima kasih kepada FAM, pasukan Harimau Malaya dan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar kerana jemput kami ke sini," katanya.

Berita Harian X