Khamis, 18 Januari 2024 | 7:58pm

Darren tak kisah siapa gandingan penyerang

DOHA: Penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok menegaskan bahawa dia tidak kisah digandingkan dengan mana-mana pemain bagi pertembungan dengan Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad, Sabtu ini.

Pemain berusia 33 tahun itu menjelaskan segala keputusan mengenai taktikal dan gandingan pemain harus diletakkan sepenuhnya di tangan ketua jurulatih, Kim Pan Gon.

Malah, dia berkata semua pemain bersedia seandainya diturunkan dalam aksi getir menentang Bahrain yang bakal menentukan peluang Harimau Malaya untuk ke pusingan 16 terakhir.

"Bagi saya, tiada masalah untuk bermain dengan sesiapa. Kami semua profesional selain kami sudah lama berlatih bersama dan memahami antara satu sama lain.

"Kita tahu aksi dengan Bahrain bukan mudah yang mana mereka pasukan kuat dan tidak banyak beza dengan Jordan. Jadi kami harus berusaha keras untuk bagi yang terbaik," katanya.

Dalam kebanyakan aksi sebelum ke pusingan akhir Piala Asia 2023, Darren digandingkan bersama Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi di bahagian serangan.

Bagaimanapun, Pan Gon membentuk gandingan baharu ketika berdepan Jordan dalam aksi pertama Kumpulan E, Selasa lalu dengan Darren bermain bersama pemain naturalisasi, Romel Morales di bahagian depan.

Tewas 0-4 kepada Jordan, ada cadangan daripada beberapa pihak supaya trio serangan membabitkan Darren, Faisal dan Arif Aiman dikembalikan semula untuk aksi menentang Bahrain.

Darren (tengah) menjalani latihann bersama skuad kebangsaan di Doha, Qatar. - Foto ihsan FAM
Darren (tengah) menjalani latihann bersama skuad kebangsaan di Doha, Qatar. - Foto ihsan FAM
Berita Harian X