Khamis, 18 Januari 2024 | 10:32am
Pemain Maghribi, Romain Saiss (kanan) meraikan jaringan bersama Youssef En-Nesyri (tengah) dan Nayef Aguerd ketika aksi Kumpulan F Piala Negara-Negara Afrika menentang Tanzania di Stade Laurent Pokou, San Pedro. - Foto AFP
Pemain Maghribi, Romain Saiss (kanan) meraikan jaringan bersama Youssef En-Nesyri (tengah) dan Nayef Aguerd ketika aksi Kumpulan F Piala Negara-Negara Afrika menentang Tanzania di Stade Laurent Pokou, San Pedro. - Foto AFP

Maghribi idam akhiri kemarau 48 tahun

ABIDJAN: Maghribi memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika dengan kemenangan 3-0 ke atas Tanzania, manakala juara 2012, Zambia terikat dengan Republik Demokratik Congo.

Kapten Romain Saiss, Azzedine Ounahi dan Youssef En-Nesyri menjaringkan gol untuk Maghribi di San Pedro, manakala Tanzania menyaksikan Novatus Miroshi dibuang padang.

Maghribi, pasukan yang melakukan kejutan di Piala Dunia 2022 apabila mara hingga ke separuh akhir, adalah kuasa besar bola sepak Afrika sejak berdekad lalu, namun baru sekali bergelar juara Afrika - 48 tahun lalu di Habsyah.

Maghribi mencatat sejarah di Qatar apabila menjadi pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia, menyingkirkan Sepanyol dan Portugal dalam laluan ke kelompok empat terakhir.

Kemenangan ke atas Tanzania dalam saingan Kumpulan F memang sudah dijangka apabila Maghribi hadir sebagai pasukan ranking ke-13 dunia manakala lawannya di tangga ke-121.

Maghribi memulakan permainanan dengan tujuh tonggak daripada kesebelasan utama yang beraksi kekalahan 2-0 kepada Perancis di separuh akhir Piala Dunia Qatar.

Terdapat tiga pemain La Liga, dua daripada Liga Perdana Inggeris dan dua daripada Ligue 1, serta dua pemain yang beraksi di Liga Pro Saudi.

Hanya seorang dalam kesebelasan utama Tanzania bermain di Liga Inggeris, Tarryn Allarakhia yang beraksi untuk kelab divisyen lima, Wealdstone.

"Kami amat fokus, kami mempunyai misi di sini dan reputasi yang perlu dijaga. Peminat menantikan sesuatu daripada kami, tetapi kami tetap berpijak di bumi nyata dan menghormati Tanzania dalam perlawanan ini," kata pengendali Maghribi, Walid Regragui. - AFP

Berita Harian X