Rabu, 17 Januari 2024 | 2:17pm
Paulo Josue bersama rakan menjalani latihan selepas tewas kepada Jordan pada aksi pertama Piala Asia.
Paulo Josue bersama rakan menjalani latihan selepas tewas kepada Jordan pada aksi pertama Piala Asia.

'Padam cerita sedih di Al Janoub'

DOHA: Tiada apa lagi yang perlu diratapi oleh Harimau Malaya mengenai kekalahan 0-4 kepada pasukan di ranking ke-87 dunia, Jordan pada aksi Kumpulan E saingan Piala Asia 2023.

Kisah sedih yang dipertontonkan di Stadium Al Janoub itu sudah berlalu dan barisan pemain Harimau Malaya perlu melupakan sepenuhnya jalan cerita Selasa lalu.

Apa yang harus dilakukan oleh skuad kendalian Kim Pan Gon ketika ini adalah memastikan kisah sama tidak ditayang semula di Stadium Jassim bin Hamad apabila mereka turun menentang Bahrain bagi aksi kedua, Sabtu ini.

Berdepan Bahrain yang berada satu anak tangga di depan Jordan dalam ranking dunia, ia menjadi satu lagi tugas sukar buat Harimau Malaya ketika mereka wajib mendapatkan kemenangan.

Tiada pilihan lain, Pan Gon harus pastikan barisan pemainnya bangkit daripada kekalahan kerana hanya tiga mata berdepan Bahrain dilihat mampu membuka laluan untuk Harimau Malaya bergerak ke pusingan 16 terakhir.

Ia kerana selepas Bahrain, skuad negara akan berdepan lawan paling sukar dalam Kumpulan E iaitu pasukan di ranking ke-23 dunia, Korea Selatan pada 25 Januari ini.

Berbaki kira-kira tiga hari sebelum berentap dengan Baharain, ia menjadi tempoh penting buat Pan Gon bagi mencongak strategi paling sesuai untuk mengejutkan skuad kendalian Juan Antonio Pizzi.

Semua kesilapan yang dilakukan ketika menentang Jordan perlu dijadikan pengajaran paling berguna buat Harimau Malaya dan bagi aksi kedua ini, penyokong sudah pasti tidak mahu lagi mendengar alasan pemain gugup.

Pemain tengah skuad negara, Paulo Josue turut mengakui bahawa segala kelemahan yang ada harus diperbaiki dan merancang sesuatu untuk menghadapi tentangan sengit dari Bahrain.

"Walaupun kalah, kami perlu belajar sesuatu daripada perlawanan itu kerana kami dapat melihat kualiti yang dimiliki Jordan. Kami hanya perlu belajar, menganalisis dan cuba bangkit untuk perlawanan seterusnya.

"Kami masih dalam persaingan, kami hanya perlu fokus kepada perlawanan seterusnya dan meletakkan apa yang berlaku ketika menentang Jordan di belakang.

"Kami menonton perlawanan Bahrain, mereka memberi tentangan hebat kepada Korea Selatan. Kami perlu menganalisis video dan melihat apa yang terbaik untuk kami berusaha sedaya upaya mendapatkan mata," katanya.

Jordan dan Korea Selatan yang memenangi aksi pertama berkongsi tiga mata untuk menguasai kedudukan dua teratas Kumpulan E manakala Bahrain dan Malaysia berada di kedudukan ketiga dan tercorot.

Berita Harian X