Selasa, 16 Januari 2024 | 1:18pm
Pemain tengah Senegal, Lamine Camara (tengah) meledak dua gol ketika aksi Kumpulan C Piala Negara-Negara Afrika menentang Gambia di Stade Charles Konan Banny, Yamoussoukro. - Foto AFP
Pemain tengah Senegal, Lamine Camara (tengah) meledak dua gol ketika aksi Kumpulan C Piala Negara-Negara Afrika menentang Gambia di Stade Charles Konan Banny, Yamoussoukro. - Foto AFP

Camara permata baharu Senegal

ABIDJAN: Lamine Camara meledak dua gol ketika Senegal memulakan misi mempertahankan gelaran Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan kemenangan 3-0 ke atas Gambia, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dua lagi pasukan pilihan, Algeria dan Cameroon seri dalam perlawanan pembukaan mereka.

Senegal yang diterajui Sadio Mane dalam misi mempertahankan trofi dimenangi di Cameroon, dua tahun lalu dan dilihat terlalu kuat buat tetangga mereka, Gambia, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain di keseluruhan babak kedua.

Pemain tengah Marseille, Pape Gueye menyempurnakan umpanan Mane bagi membolehkan pasukan digelar Singa Teranga itu berada di depan selepas empat minit perlawanan di ibu negara Ivory Coast, Yamoussoukro.

Gambia dibelenggu pelbagai masalah sebelum kejohanan, termasuk pemain memboikot sesi latihan berikutan tidak dibayar bonus ketika kempen dan pesawat mereka ke Ivory Coast diarah berpatah balik selepas sembilan minit berlepas kerana masalah teknikal.

Gambia yang layak ke suku akhir pada kempen 2022 menyaksikan pemain tengah Cardiff, Ebou Adams dibuang padang kerana menerjah pemain lawan sebelum rehat.

Kesempatan itu digunakan Senegal itu mengesahkan kemenangan pada awal babak kedua apabila Camara, 20, yang dipilih Pemain Muda Terbaik Afrika, merembat rendah ke penjuru gawang dan menjadikan kedudukan 2-0.

Dia kemudian melengkapkan kemenangan dengan jaringan menarik yang boleh dianggap sebagai pencabar jaringan menarik kejohanan pada minit ke-86.

Senegal yang dibimbing Aliou Cisse akan berdepan perlawanan Kumpulan C lebih sukar apabila bertemu juara lima kali, Cameroon, selepas ini.

Pasukan digelar Indomitable Lions yang juga juara pada edisi 2017 itu terpaksa bangkit untuk seri 1-1 menentang Guinea yang beraksi dengan 10 pemain. - AFP

Berita Harian X