Selasa, 16 Januari 2024 | 12:45am
Penyokong Harimau Malaya, Raff Iskandar (kanan) bersama adiknya, Muhammad Ridzwan, yang juga OKU penglihatan turut hadir bagi menyaksikan perlawanan antara Malaysia bertemu Jordan sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Penyokong Harimau Malaya, Raff Iskandar (kanan) bersama adiknya, Muhammad Ridzwan, yang juga OKU penglihatan turut hadir bagi menyaksikan perlawanan antara Malaysia bertemu Jordan sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Cacat penglihatan tak halang Ridzwan sokong Harimau Malaya

DOHA: "Orang datang ke stadium nak tengok Malaysia menang, tapi saya nak dengar Malaysia menang!"

Itu kata seorang penyokong orang kelainan upaya cacat penglihatan, Muhammad Ridzwan Efendi yang turut berada di Doha, Qatar bagi menyaksikan Harimau Malaya beraksi di Piala Asia 2023.

Ridzwan yang cacat penglihatan sejak lahir menjelaskan bahawa dia sentiasa ke stadium bagi menyaksikan pasukan Harimau Malaya sejak Sukan SEA 2017.

Pemuda berusia 27 tahun itu mendapat bantuan daripada abangnya, Raff Iskandar Erman yang melakukan simulasi menggunakan tangan bagi memberi isyarat kepada Ridzwan mengenai situasi yang berlaku di atas padang sepanjang perlawanan.

"Perasaan tak ke stadium berbeza, sebab itu saya suka pergi ke stadium. Kadang-kadang jika abang saya tak sempat jelaskan situasi (atas padang), orang sebelah pula yang tolong jelaskan.

"Saya suka semua pemain Malaysia, tiada spesifik pemain yang saya minat. Selagi dia pakai baju Malaysia, semua saya suka.

"Harapan saya nak Malaysia menang, tetapi saya nak pemain Malaysia tahu dalam banyak-banyak ekor (penyokong), saya salah satu yang datang untuk dengar dan menang, bukan nak tengok," katanya ketika ditemui di Stadium Al Janoub, di sini, hari ini.

Stadium Al Janoub akan menjadi gelanggang pertama aksi Malaysia di Piala Asia 2023 apabila skuad kendalian Kim Pan Gon akan menentang Jordan dalak Kumpulan E.

Sementara itu, Raff Iskandar menegaskan bahawa tiada masalah untuk dia membawa adiknya ke stadium kerana perkara itu sudah dilakukannya sejak 2017.

"Sebelum ini memang saya sentiasa bawa dia ke stadium untuk perlawanan Harimau Malaya. Kali ini dia nak merasai pengalaman Piala Asia. Impian dia tercapai, lagi pun ini kali pertama kita layak secara merit selepas 43 tahun.

"Saya selalu akan pegang dan gerakkan tangan dia untuk menampakkan situasi yang berlaku di atas padang. Kalau ada situasi gol atau percubaan berbahaya kami akan bersorak bersama," katanya.

Berita Harian X