Isnin, 15 Januari 2024 | 2:07pm
Kim Pan Gon dan pemain Harimau Malaya teruja dengan keadaan Stadium Al Janoub yang menjadi gelanggang menentang Jordan awal pagi esok.
Kim Pan Gon dan pemain Harimau Malaya teruja dengan keadaan Stadium Al Janoub yang menjadi gelanggang menentang Jordan awal pagi esok.

Stadium Al Janoub 'bakar' semangat Harimau Malaya

DOHA: Barisan pemain Harimau Malaya tidak sabar untuk turun beraksi di Stadium Al Janoub bagi perlawanan pertama mereka di pentas pusingan akhir Piala Asia 2023, awal pagi esok.

Beberapa pemain negara mengakui kagum dengan keadaan stadium berkapasiti 44,325 penonton yang terletak di Al Wakrah, Qatar.

Penyerang Harimau Malaya, Faisal Halim menyifatkan keadaan permukaan padang yang menarik di gelanggang itu menambah keterujaannya untuk beraksi berdepan Jordan.

"Suasana stadium dan padang sangat menarik. Inilah peluang terbaik untuk membuktikan yang pasukan kita mampu untuk bersaing.

"Tidak perlu lagi pertikai soal padang, (awal pagi) esok adalah masa yang kita perlu berjuang habis-habisan untuk Malaysia," katanya.

Aksi pertama Kumpulan E berdepan Jordan menjadi perlawanan penting buat Harimau Malaya dengan ia bakal mempengaruhi peluang skuad negara untuk ke pusingan seterusnya.

Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue turut teruja dengan keadaan Stadium Al Janoub sambil berharap Harimau Malaya dapat meraih mata berdepan Jordan.

"Stadium ini menakjubkan dan kita boleh lihat keadaan rumput yang menarik. Harap esok semuanya berjalan lancar buat kami. Harap kami dapat meraih mata esok dan membanggakan anda semua," katanya.

Berita Harian X