Isnin, 15 Januari 2024 | 1:08pm
Proses merobohkan Stadium Shah Alam bagi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu tidak akan menggunakan peledak atau bom, sebaliknya secara manual. - Foto fail NSTP
Proses merobohkan Stadium Shah Alam bagi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu tidak akan menggunakan peledak atau bom, sebaliknya secara manual. - Foto fail NSTP

Roboh Stadium Shah Alam tak guna bom - Amirudin

SHAH ALAM: Proses merobohkan Stadium Shah Alam bagi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu tidak akan menggunakan peledak atau bom, sebaliknya secara manual.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja itu akan dilaksanakan selepas selesai pengalihan sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak di Seksyen 13.

"Ya akan berlaku (merobohkan). Saya akan pastikan segera tetapi kita tidak boleh menggunakan peledak atau bom sebab ia akan memberikan kesan kepada kejiranan di kawasan itu (Seksyen 13).

"Kita akan membuat secara manual dengan menggunakan mesin yang akan mengambil masa panjang sedikit.

"Kerja merobohkan itu akan bermula selepas kita berjaya mengalihkan sub stesen TNB itu kerana ia penting untuk Seksyen 13," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ditemuramah media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ditemuramah media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Amirudin berkata, pihaknya sedang menyelesaikannya isu sub stesen TNB kerana ia membekalkan tenaga elektrik untuk kawasan Seksyen 13.

"Sekarang kita sedang ubah alirannya, kalau tidak seluruh Seksyen 13 akan bergelap.

"Jadi, kita ambil pertimbangan ini dahulu tambahan kelulusan sudah diberikan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Sekarang sedang 'deal' dengan TNB untuk alihkannya. Kalau buat (sub stesen) baharu, akan ambil masa lagi setahun, baru boleh robohkan stadium... jadi kita alihkan dulu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Amirudin mengesahkan MBSA sudah memberi kelulusan untuk melaksanakan projek pembangunan KSSA.

Kerajaan negeri menghantar pelan Kebenaran Merancang (KM) bagi projek KSSA pada 15 November lalu dengan proses bermula dengan merobohkan Stadium Shah Alam itu.

Projek pembangunan semula KSSA yang membabitkan kawasan seluas 76.08 hektar itu dijangka siap menjelang 2026.

Berita Harian X