Isnin, 15 Januari 2024 | 8:17am
Kapten Mesir, Mohamed Salah menyumbat gol menerusi sepakan penalti pada minit ketujuh masa kecederaan ketika menentang Mozambique pada aksi Piala Negara-Negara Afrika di Stadium Felix Houphouet Boigny, Abidjan awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Kapten Mesir, Mohamed Salah menyumbat gol menerusi sepakan penalti pada minit ketujuh masa kecederaan ketika menentang Mozambique pada aksi Piala Negara-Negara Afrika di Stadium Felix Houphouet Boigny, Abidjan awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Penalti Salah selamatkan air muka Mesir

ABIDJAN: Mohamed Salah menyelamatkan Mesir daripada kekalahan memalukan pada aksi pertama mereka pada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) awal pagi tadi apabila dia menyumbat masuk sepakan penalti pada minit ketujuh masa kecederaan untuk memaksa keputusan seri 2-2 dengan Mozambique.

Penalti itu dihadiahkan selepas semakan VAR oleh pengadil kerana kekasaran ke atas Mostafa Mohamed dalam kotak penalti di Stadium Felix Houphouet Boigny di Abidjan dan jaringan Salah menafikan Mozambique untuk melakar sejarah mencatat kemenangan sulung dalam AFCON.

"Ia perlawanan yang benar-benar sukar. Saya sedih melihat pemain saya hancur luluh pada akhirnya kerana kami berhak untuk menang," kata jurulatih Mozambique, Chiquinho Conde.

Mohamed meletakkan pemegang rekod tujuh kejuaraan Afrika, Mesir permulaan yang ideal apabila dia meledak masuk dalam tempoh dua minit aksi Kumpulan B itu, namun cuaca panas dan berbahang ternyata menyukarkan The Pharaohs.

Mozambique, yang tidak menang satu pun daripada 12 perlawanan dalam empat penampilan pada AFCON, menyamakan kedudukan menerusi Witiness Quembo pada minit ke-55.

Pemain Mesir meraikan gol pertama jaringan Mostafa Mohamed ketika menentang Mozambique pada aksi Piala Negara-Negara Afrika di Stadium Felix Houphouet Boigny, Abidjan awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Mesir meraikan gol pertama jaringan Mostafa Mohamed ketika menentang Mozambique pada aksi Piala Negara-Negara Afrika di Stadium Felix Houphouet Boigny, Abidjan awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Perlawanan itu ternyata menjadi lebih mendebarkan selepas Mozambique menjaringkan gol sekali lagi tiga minit kemudian apabila Clesio Bauque, yang masuk sebagai pemain gantian selepas rehat, meluru pantas untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Salah menyelamatkan Mesir, tetapi ia bukannya permulaan memberangsangkan kempen mereka di Ivory Coast ketika mereka cuba untuk memenangi rekod kejuaraan kelapan AFCON dan buat kali pertama sejak 2010, sebelum bintang Liverpool itu melakukan penampilan sulungnya di peringkat antarabangsa.

"Saya mahu menang setiap perlawanan yang saya kendalikan dan apabila kami gagal menang saya sedih, tetapi tidak ada perlawanan yang mudah," kata jurulatih Mesir, Rui Vitoria.

"Kami bukannya pasukan terbaik sebelum undian diadakan dan kami bukanlah pasukan terburuk sekarang."

Perlawanan berikutnya buat mereka menentang Ghana awal pagi Jumaat ini sebelum menentang Cape Verde pada aksi terakhir peringkat kumpulan. – AFP

Berita Harian X