Ahad, 14 Januari 2024 | 12:29pm

'Jangan balik tangan kosong'

DOHA: Memperbaiki pencapaian buruk pada 2007 dilihat menjadi sasaran utama Harimau Malaya di pentas pusingan akhir Piala Asia 2023.

Harimau Malaya yang beraksi di Piala Asia 2007 atas tiket selaku tuan rumah gagal meraih sebarang mata dan berada di tangga tercorot Kumpulan C apabila tewas kepada China (1-5), Uzbekistan (0-5) dan Iran (0-2).

Kini, bakal membuat kemunculan semula dalam kejohanan tertinggi Asia itu di Qatar, skuad negara bakal berdepan tugas sukar apabila berada dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

Meskipun mencipta sejarah layak secara merit selepas 43 tahun dan berada pada prestasi meyakinkan, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagaimanapun enggan meletakkan sasaran terlampau tinggi terhadap Harimau Malaya.

Sedar skuad kendalian Kim Pan Gon bakal berdepan tugas sukar menentang pasukan besar di Piala Asia, Hamidin menjelaskan sasaran awal buat Harimau Malaya masih kekal untuk sekurang-kurangnya tidak pulang dengan tangan kosong.

"Saya sudah katakan awal, kalau kita layak (secara merit) selepas lebih 40 tahun, sekurang-kurangnya kita nak dapatkan mata. Jika dapat melangkah ke pusingan 16 terbaik, ia satu bonus kepada kita.

"Namun, pemain dan pegawai berjanji dengan saya untuk cuba melangkah ke pusingan 16 terbaik. Jadi yang penting kalau boleh jangan balik dengan mata kosong.

"Malah, kalau menang atau seri, kita akan dapat jumlah mata ranking yang tinggi apabila berhadapan dengan pasukan lebih atas (dalam ranking FIFA)," katanya.

Harimau Malaya akan membuka kempen Piala Asia 2023 menentang pasukan tangga ke-87 dunia, Jordan di Stadium Al Janoub jam 1.30 pagi Selasa waktu Malaysia.

Seterusnya, skuad negara akan berdepan Bahrain (ranking 86 dunia), Sabtu ini sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang Korea Selatan (23) pada 25 Januari.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tiga dari kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain skuad Harimau Malaya sambil diperhatikan ketua jurulatih, Kim Pan Gon (dua dari kiri) ketika sesi latihan di Universiti Qatar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tiga dari kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain skuad Harimau Malaya sambil diperhatikan ketua jurulatih, Kim Pan Gon (dua dari kiri) ketika sesi latihan di Universiti Qatar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X