Sabtu, 13 Januari 2024 | 8:31pm
Kamaruddin (tiga dari kiri) bersama rakan ketika memberi sokongan kepada Harimau Malaya yang beraksi dalam Piala AFF.
Kamaruddin (tiga dari kiri) bersama rakan ketika memberi sokongan kepada Harimau Malaya yang beraksi dalam Piala AFF.

Pemain ke-12 sanggup habis ribuan ringgit demi Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Sanggup berhabis ribuan ringgit demi Harimau Malaya!

Itu pengorbanan penyokong tegar skuad bola sepak negara yang terbang ke Qatar bagi menyokong Harimau Malaya di pusingan akhir Piala Asia 2023.

Mendapat julukan 'Ekor Harimau Malaya', penyokong skuad itu sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan pasukan negara beraksi secara langsung dari tempat duduk stadium di Doha.

Malah, lebih mengujakan penyokong, ia kali pertama Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir pentas tertinggi Asia itu selepas 43 tahun selain prestasi anak buah Kim Pan Gon ketika ini berada pada tahap meyakinkan.

Kos untuk ke Qatar bukanlah murah dengan paling minimum seorang peminat dikatakan perlu menyediakan perbelanjaan antara RM5,000 hingga RM6,000.

Kamaruddin Selamat menjelaskan, kos berkenaan merangkumi tiket penerbangan, penginapan, makan dan minum serta tiket menyaksikan tiga aksi Harimau Malaya dalam Kumpulan E.

Kakitangan kerajaan berasal dari Selangor itu berkata, dia dapat melakukan penjimatan dari aspek penginapan apabila berkongsi menyewa pangsapuri bersama tiga rakan.

Katanya, kos tambahan diperlukan sekiranya penyokong mahu terus berada di Doha jika Harimau Malaya layak ke pusingan kalah mati.

"Sebenarnya inilah pengorbanan kami sebagai penyokong yang mana saya sendiri perlu mendapatkan cuti untuk ke sana. Memang bersedia keluarkan duit dan berbelanja mengikut kemampuan.

"Penyokong juga adalah kekuatan Harimau Malaya. Walaupun pemain tak kenal kami, tapi kami ambil tanggungjawab ini sebagai pemain ke-12 dan inilah minat saya sebagai pencinta bola sepak.

"Malah, ini kali pertama pasukan negara layak secara merit selepas 43 tahun dan kita kena raikan. Mereka (Harimau Malaya) sudah pergi ke peringkat Asia, apa lagi yang kita mahu.

"Mereka sudah tunaikan janji kerana sasaran FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk skuad negara layak secara merit. Ia satu pencapaian yang baik, tapi jika layak ke pusingan 16 terakhir, itu bonus," katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Kamaruddin menyifatkan prestasi Harimau Malaya di bawah era Pan Gon sebagai paling terbaik selepas sekian lama bergelut untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Dia berkata, inilah saat yang ditunggu oleh seluruh penyokong dan persembahan yang dipamerkan anak buah Pan Gon seakan mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak negara.

"Peminat memang dahagakan kejayaan, sekarang ini tidak kisah pemain tempatan, warisan atau naturalisasi kerana mereka membawa nama dan bendera Malaysia.

"Ketika ini pasukan negara kita sudah jadi pesaing dan kita mahu melihat mereka memberi tentangan kepada pasukan ranking lebih tinggi. Tunjukkan kita bukan pasukan pelengkap jadual," katanya.

Berita Harian X