Rabu, 10 Januari 2024 | 11:14am
Pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold terpaksa berehat beberapa minggu akibat kecederaan lutut ketika kemenangan ke atas Arsenal. - Foto AGENSI
Pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold terpaksa berehat beberapa minggu akibat kecederaan lutut ketika kemenangan ke atas Arsenal. - Foto AGENSI

Alexander-Arnold terpaksa rehat beberapa minggu

LONDON: Pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold terpaksa berehat beberapa minggu akibat kecederaan lutut ketika kemenangan ke atas Arsenal dalam saingan Piala FA hujung minggu lalu.

Penolong jurulatih, Pep Lijnders mengesahkan kecederaan Alexander-Arnold menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Fulham awal pagi esok.

Alexander-Arnold menamatkan permainan Ahad lalu, tetapi kecederaan lututnya memerlukan dia berehat panjang untuk pulih.

Ketiadaan bek kanan England itu bakal memberi impak terhadap pendahulu Liga Perdana Inggeris itu, yang turut memburu kejuaraan dalam saingan Liga Europa dan dua kejohanan domestik.

"Pertama sekali, berita kurang baik, Trent cedera di bahagian lutut ketika perlawanan terakhirnya.

"Ligamennya koyak dan dia memerlukan rehat yang panjang. Imbasan sudah dilakukan dan dia memerlukan beberapa minggu untuk pulih," kata Lijnders.

Selepas aksi Piala Liga esok, Alexander-Arnold akan terlepas pertembungan Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth pada 21 Januari, dan Fulham tiga hari kemudian.

Liverpool akan menentang sama ada Norwich atau Bristol Rovers pada pusingan keeempat Piala FA pada 27 Januari sebelum bertemu Chelsea untuk aksi liga pada 31 Januari.

Liverpool sudah kehilangan bek tengahnya, Joel Matip serta bek kiri, Andy Robertson dan Kostas Tsimikas akibat kecederaan. - AFP

Berita Harian X