Rabu, 10 Januari 2024 | 7:55am
Pemain Middlesbrough, Hayden Hackney menjaringkan gol ketika aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Chelsea di Stadium Riverside, Middlesbroug. - Foto REUTERS
Pemain Middlesbrough, Hayden Hackney menjaringkan gol ketika aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Chelsea di Stadium Riverside, Middlesbroug. - Foto REUTERS

Middlesbrough kejutkan Chelsea di separuh akhir Piala Liga

MIDDLESBROUGH: Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino menyalahkan ketumpulan barisan serangannya ketika tewas 1-0 kepada Middlesbrough pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga di Riverside.

Hayden Hackney meledak gol tunggal permainan pada minit ke-38 untuk mengatasi barisan pemain bintang Chelsea yang sekali lagi gagal menampilkan persembahan meyakinkan di tempat lawan.

Chelsea tewas lima daripada enam perlawanan terakhir di tempat lawan dan kali ke-21 keseluruhan di luar Stamford Bridge sejak permulaan musim lalu - jumlah terbanyak untuk mana-mana pasukan Liga Perdana Inggeris.

The Blues perlu bangkit pada aksi timbal balik di laman sendiri 23 Januari nanti untuk meredakan tekanan ke atas Pochettino di musim pertamanya bersama Chelsea.

Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino kecewa selepas tewas kepada Middlesbrough dalam separuh akhir pertama Piala Liga di Stadium Riverside, Middlesbrough. - Foto AFP
Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino kecewa selepas tewas kepada Middlesbrough dalam separuh akhir pertama Piala Liga di Stadium Riverside, Middlesbrough. - Foto AFP

"Jika kita menilai persembahan keseluruhan, kami adalah pasukan lebih baik, mempunyai lebih peluang gol tetapi tidak cukup tajam dan gagal memanfaatkannya. Ia kerap berlaku musim ini," kata Pochettino.

Pengendali Boro, Michael Carrick kehilangan penjaring utamanya, Emmanuel Latte Lath hanya selepas tiga minit permainan bermula.

Carrick juga terpaksa mengeluarkan Alex Bangura di awal babak pertama, tetapi ia tidak menghalang kelab divisyen dua itu meraih kelebihan menjelang aksi timbal balik nanti.

Pengendali Middlesbrough, Michael Carrick meraikan kemenangan ke atas Chelsea dalam aksi Piala Liga di Stadium Riverside, Middlesbrough. - Foto REUTERS
Pengendali Middlesbrough, Michael Carrick meraikan kemenangan ke atas Chelsea dalam aksi Piala Liga di Stadium Riverside, Middlesbrough. - Foto REUTERS

"Ia sangat istimewa. Saya tahu ia perlawanan dua pusingan dan cabaran belum berakhir, tetapi dengan apa yang terpaksa kami harungi, kecederaan pemain-pemain, menewaskan pasukan dengan kualiti seperti Chelsea sangat sukar dipercayai," kata Carrick, bekas pemain tengah Manchester United.

Middlesbrough tidak pernah membolosi gawang Chelsea sejak 17 tahun lalu. Dalam sembilan perlawanan antara mereka sebelum ini, Chelsea menang kesemuanya dengan jumlah agregat keseluruhan 21-0.

Satu lagi aksi separuh akhir menampilkan pertembungan antara Liverpool dan Fulham. - AFP

Berita Harian X