Selasa, 9 Januari 2024 | 8:09am
Legenda bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer meninggal dunia pada usia 78 tahun. - Foto AFP
Legenda bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer meninggal dunia pada usia 78 tahun. - Foto AFP

Beckenbauer cetus revolusi bola sepak Jerman

MUNICH: Franz Beckenbauer, yang meninggal dunia pada usia 78 tahun, mencetus era moden bola sepak dan membantu Jerman menjuarai Piala Dunia 1974 di laman sendiri.

Legenda yang diberi gelaran 'Der Kaiser' itu kerana corak permainannya yang bertenaga, menjadi tonggak kepada kejayaan Jerman di atas padang - sebagai pemain dan kemudian jurulatih.

Dia merangkul hampir kesemua kejuaraan utama sepanjang kariernya dan meneruskan kecemerlangannya sebagai pengendali pasukan.

Beckenbauer mengumpul 103 kap dan menjadi kapten Jerman Barat ketika menjuarai Piala Dunia 1974, dua tahun selepas menjulang gelaran Eropah.

Di peringkat kelab, dia membawa Bayern Munich menjuarai tiga Kejuaraan Eropah dari tahun 1974 hingga 1976, dan memenangi Piala Dunia Kelab, Piala Juara-Juara Kejuaraan Eropah dan lapan trofi domestik - empat gelaran liga dan empat piala.

Dia dinobatkan Pemain Terbaik Jerman Barat sebanyak empat kali dan dua kali Pemain Terbaik Eropah.

Franz Beckenbauer membantu Jerman Barat menjuarai Piala Dunia 1974 di laman sendiri. - Foto AFP
Franz Beckenbauer membantu Jerman Barat menjuarai Piala Dunia 1974 di laman sendiri. - Foto AFP

Sebagai jurulatih, dia menikmati kejayaan ketika membawa Jerman memenangi Piala Dunia 1990 di Itali, salah seorang daripada tiga individu yang pernah memenangi kejohanan itu sebagai pemain dan jurulatih.

Reputasinya bagaimanapun tercalar susulan dakwaan rasuah ketika dia menjadi ketua penganjuran Piala Dunia 2006 di Jerman.

Beckenbauer, yang bergelut dengan masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu, menafikan sebarang salah laku.

Dia dilahirkan pada 11 September 1945 dan mula menyertai skuad remaja Bayern pada tahun 1959.

Pada usia 20 tahun, Beckenbauer mewakili negaranya buat pertama kali dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Sweden.

Selepas beraksi cemerlang dalam tiga edisi Piala Dunia, Beckenbauer menyertai New York Cosmos pada tahun 1977.

Dia berada di Amerika Syarikat selama tiga tahun sebelum kembali ke Jerman Barat menyertai pesaing Bayern, Hambug SV.

Selepas bersara sebagai pemain, dia kembali ke padang sebagai jurulatih walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman mengendali pasukan.

Kurang dua tahun, dia membimbing Jerman Barat mara ke final Piala Dunia 1986 di Mexico sebelum tewas 3-2 di tangan Argentina yang diterajui Diego Maradona.

Anak buah Beckenbauer bangkit empat tahun kemudian dengan menewaskan lawan yang sama di final Piala Dunia 1990. - REUTERS

Berita Harian X