Ahad, 7 Januari 2024 | 10:45am
Pemain Inter Milan, Davide Frattesi meraikan gol kemenangan 2-1 ke atas Verona pada aksi Serie A Itali di San Siro, Milan awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Inter Milan, Davide Frattesi meraikan gol kemenangan 2-1 ke atas Verona pada aksi Serie A Itali di San Siro, Milan awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Inter lebar jurang lima mata di depan

MILAN: Davide Frattesi meletakkan Inter Milan lima mata di depan di puncak Serie A awal pagi tadi dengan gol kemenangan saat akhir yang membolehkan pasukannya menang 2-1 ke atas Verona pada perlawanan menarik dan penuh kontroversi.

Pemain tengah Itali, Frattesi merembat masuk gol kemenangan susulan bola muntah pada minit ketiga masa kecederaan perlawanan menakjubkan di San Siro yang penuh dramatik.

Anak buah Simone Inzaghi bertuah kerana menang apabila Thomas Henry, yang terdahulu menjaringkan gol penyamaan Verona, gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10 masa kecederaan apabila tendangannya terkena palang.

Satu ngauman kuat menyelubungi stadium itu ketika Inter akan bersendirian di puncak liga selepas pertengahan saingan musim ini, dengan pencabar terdekat Juventus berkunjung ke Salernitana malam ini.

"Ia satu rembatan yang bagus dan saya mengikuti bola, saya menghampirinya dan saya bertuah ia datang ke arah saya," kata Frattesi kepada DAZN.

Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez menyumbat masuk gol pembukaan menentang Verona pada aksi Serie A Itali di San Siro, Milan awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez menyumbat masuk gol pembukaan menentang Verona pada aksi Serie A Itali di San Siro, Milan awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Kemenangan paling penting adalah yang terburuk, ini yang akan membantu anda mencabar hingga ke hujung musim."

Sambutan bergemuruh dalam kalangan penyokong hadir pada perlawanan yang awalnya kelihatan satu kemenangan rutin buat Inter selepas Lautaro Martinez meledak masuk gol ke-16 buatnya musim ini pada minit ke-13.

Namun semuanya berubah sebaik Henry menyamakan kedudukan pada minit ke-74 susulan hantaran lintang Ondrej Duda ketika Inter berusaha gigih untuk mencari kemenangan.

Frattesi melakukannya selepas penjaga gol Verona, Lorenzo Montipo menumbuk keluar percubaan Nicolo Barella, penamat gerakan menggila yang mana Alessandro Bastoni turut merembat voli ke tiang gol.

Bagaimanapun Verona geram kerana menganggap gol Frattesi tidak patut disahkan selepas Bastoni dilihat menyiku muka Duda sebelum dia merembat voli yang menjurus kepada gol kemenangan. – AFP

Berita Harian X