Jumaat, 5 Januari 2024 | 4:29pm
Penyokong Harimau Malaya boleh saksikan aksi pasukan di Stadium Nasional sempena Piala Asia.
Penyokong Harimau Malaya boleh saksikan aksi pasukan di Stadium Nasional sempena Piala Asia.

Pemain ke-12 boleh tonton aksi Harimau Malaya di Stadium Nasional

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyediakan skrin gergasi untuk penyokong menyaksikan semua ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan membabitkan skuad Harimau Malaya di Piala Asia yang berlangsung di Doha, Qatar.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengumumkan perkara itu, berkata lokasi skrin berkenaan adalah di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kita akan membuka Stadium Nasional Bukit Jalil kepada semua penyokong Harimau Malaya. Pastikan anda datang untuk menyokong pasukan Harimau Malaya," kata Hannah menerusi video yang dikongsikan kepada media, hari ini.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon akan membuka tirai saingan Kumpulan E Piala Asia menentang Jordan pada 16 Januari diikuti aksi bertemu Bahrain 20 Januari dan Korea Selatan 25 Januari.

Dalam pada itu, Hannah turut meniupkan semangat barisan pemain dan mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad Harimau Malaya akan berjuang di Doha nanti.

"Selamat maju jaya kepada pasukan Harimau Malaya di Qatar. Penantian melebihi 40 tahun merupakan satu prestasi yang amat membanggakan semua rakyat Malaysia

"Ingat, bila anda masuk padang nanti jika anda fikirkan anda boleh anda pasti boleh melakukan yang terbaik.

"Saya mengucapkan tahniah juga kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), jurulatih Kim Pan Gon atas usaha anda membantu pasukan Harimau Malaya melangkah sejauh ini," katanya.

Berita Harian X