Khamis, 4 Januari 2024 | 10:02pm

Anwar suntik semangat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya menerima suntikan semangat penuh bermakna menjelang pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar yang dijadual membuka tirai saingan secara rasmi 12 Januari ini.

Anak buah Kim Pan Gon yang bakal membuka saingan Kumpulan E menentang Jordan pada 16 Januari ini memperoleh motivasi tambahan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan atas kemampuan pasukan kebangsaan di Qatar nanti.

"Selepas 42 tahun, kini Harimau Malaya kembali beraksi di pentas Piala Asia 2023 di Qatar," kata Anwar dalam hantaran di Facebook, hari ini.

"Selamat berjuang saya ucapkan dan saya menaruh keyakinan tinggi pasukan kendalian jurulatih Kim Pan Gon mampu beri saingan mantap dalam kejohanan kali ini.

"Mewakili seluruh rakyat Malaysia, saya mendoakan kejayaan buat skuad Harimau Malaya. Berjuanglah sepenuh jiwa demi lencana di dada!."

Selain Jordan, Harimau Malaysia dijadual berdepan tugas getir apabila diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali, Korea Selatan dan Bahrain.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.

Perlawanan Piala Asia 2023 akan disiarkan secara langsung di RTM bermula 12 Januari ini dan Anwar menyeru supaya peminat bola sepak sama-sama memberikan sokongan kepada pasukan negara.

"Kepada peminat bola sepak negara, saksikan secara langsung di RTM dan ayuh kita berikan sokongan sebaiknya!," kata Anwar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan atas kemampuan pasukan kebangsaan di Qatar nanti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan atas kemampuan pasukan kebangsaan di Qatar nanti.
Berita Harian X