Khamis, 4 Januari 2024 | 8:46am
Pemain bola sepak terbaik Algeria, Youcef Atal yang mewakili kelab Ligue 1, Nice, dihukum penjara lapan bulan oleh mahkamah Perancis kerana menunjukkan sokongan ke atas Palestin. - Foto AFP
Pemain bola sepak terbaik Algeria, Youcef Atal yang mewakili kelab Ligue 1, Nice, dihukum penjara lapan bulan oleh mahkamah Perancis kerana menunjukkan sokongan ke atas Palestin. - Foto AFP

Atal dipenjara lapan bulan kerana sokong Palestin

RABAT: Pemain bola sepak terbaik Algeria, Youcef Atal yang mewakili kelab Ligue 1, Nice, dihukum penjara lapan bulan oleh mahkamah Perancis kerana menunjukkan sokongan ke atas Palestin.

Mahkamah Perancis mengumumkan keputusannya itu semalam dan Atal turut didenda 45,000 euro (RM228,149) atas dakwaan mencetus kebencian.

Atal dihukum selepas meluahkan pandangannya secara terbuka terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin dalam siri pembunuhan beramai-ramai terbaru sejak 7 Oktober lalu.

Pada Oktober, pemain Algeria itu memuat naik sokongannya terhadap Palestin di media sosial sejurus selepas Israel memulakan keganasan terhadap orang awam di Gaza dan Tebing Barat.

Atal turut berdepan penggantungan oleh kelabnya dan dikecam teruk di Perancis, sehingga memaksa pemain 27 tahun itu memadamkan hantarannya di media sosial.

Dua persatuan, Liga Antarabangsa menentang Perkauman dan Anti-Semitik (LICRA) dan Pemantau Yahudi Perancis, memfailkan dakwaan ke atas Atal.

Atal bukan pemain bola sepak pertama dikecam kerana memberikan sokongan ke atas Palestin.

Pemain Maghribi, Noussair Mazaoui, yang beraksi untuk kelab Jerman, Bayern Munich, turut menjadi mangsa selepas menunjukkan simpati ke atas rakyat Palestin. - AGENSI

Berita Harian X