Rabu, 3 Januari 2024 | 8:35pm
Yazan Al Arab (kiri) dan Noor Al-Rawabdeh.
Yazan Al Arab (kiri) dan Noor Al-Rawabdeh.

'Rahsia' Harimau Malaya di tangan Yazan, Al-Rawabdeh

KUALA LUMPUR: Dua pemain Jordan, Yazan Al Arab dan Noor Al-Rawabdeh boleh menjadi antara ancaman utama buat Harimau Malaya menjelang aksi pertama Kumpulan E saingan Piala Asia 2023, 16 Januari ini.

Ia berdasarkan pengalaman mereka beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bersama Selangor musim lalu meskipun Yazan ditamatkan kontrak lebih awal oleh Gergasi Merah.

Kontrak Yazan ditamatkan pada Oktober lalu susulan tindakan ganasnya terhadap pengadil yang mana dia turut dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM mengharamkan Yazan daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia selepas dia bertindak menyepak bahagian punggung pengadil dan meludah ke arah pengadil ketika suku akhir Piala Malaysia, September lalu.

Hukuman berat yang dikenakan itu menyaksikan Harimau Malaya harus lebih berwaspada kerana terdapat kemungkinan pemain pertahanan berusia 27 tahun itu menyimpan 'dendam' dan berkeinginan tinggi mahu mengecewakan Malaysia.

Al-Rawabdeh pula mempamerkan persembahan cemerlang bersama Selangor dengan membantu skuad itu meraih gelaran naib juara Liga Super dan layak beraksi di kejohanan peringkat Asia musim depan.

Penyerang Harimau Malaya dan Selangor, Faisal Halim bagaimanapun menyifatkan skuad negara melakukan persiapan rapi meskipun Yazan dan Al-Rawabdeh berkemungkinan mengetahui serba sedikit mengenai pemain Malaysia.

"Mereka (Jordan) ada persiapan mereka dan kita pun ada persiapan kita. Apa yang saya harap dalam 90 minit (perlawanan) pertama, semua pemain dapat memberikan yang terbaik," katanya.

Selain itu, penjaring terbanyak Jordan, Hamza Al-Dardour dan penyerang, Yazan Al-Naimat juga dilihat menjadi antara tonggak yang harus diberikan lebih tumpuan oleh barisan pertahanan Harimau Malaya.

Jordan yang berada di ranking ke-87 dunia bagaimanapun tampak bergelut dengan masalah prestasi apabila hanya memenangi dua daripada 10 perlawanan yang diharungi mereka sejak Mac tahun lalu selain seri dua kali dan tewas enam kali.

Harimau Malaya akan membuka kempen Piala Asia di Qatar berdepan Jordan pada jam 1.30 pagi (waktu Malaysia), 16 Januari ini sebelum menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Berita Harian X