Selasa, 2 Januari 2024 | 6:20pm
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon menjalani latihan pertama di Qatar University, malam tadi. - Foto ihsan FAM
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon menjalani latihan pertama di Qatar University, malam tadi. - Foto ihsan FAM

Harimau Malaya jadi perhatian Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Meskipun hadir sebagai pasukan kerdil di pentas Piala Asia 2023, namun skuad Harimau Malaya tetap mendapat perhatian pada kejohanan yang akan berlangsung di Qatar bermula 12 Januari ini.

Bekas kapten Korea Selatan, Koo Ja Cheol mengakui Malaysia sebagai antara pasukan yang menarik perhatiannya selepas kembali bersaing di pentas tertinggi Asia itu.

Katanya, setelah lama tidak bersaing di Piala Asia, penampilan semula pasukan seperti Malaysia bakal menjadi tumpuan terutama dengan Harimau Malaya mempunyai penyokong yang hebat.

"Saya fikir tindakan memperbesarkan pertandingan Piala Asia kepada 24 pasukan (pada 2019) menjadikan kejohanan itu sangat menarik. Ia memberi kami peluang untuk melihat persaingan antara pelbagai negara di seluruh Asia.

"Sejujurnya, semua kumpulan kelihatan sangat menarik dan beberapa pasukan membuat kemunculan semula. Saya tidak sabar untuk menyaksikan pertandingan terutama dalam Kumpulan E membabitkan pasukan Korea Selatan.

"Lebih-lebih lagi, saya teruja untuk melihat beberapa pasukan seperti Malaysia dan Hong Kong selain China yang terkenal dengan peminat mereka yang sangat bersemangat," katanya di laman rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Harimau Malaya bakal berdepan cabaran besar di Piala Asia apabila diundi bersama juara dua kali, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Skuad kendalian Kim Pan Gon akan membuka kempen Piala Asia berdepan Jordan pada awal pagi (waktu Malaysia), 16 Januari ini sebelum menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Selain itu, Ja Cheol yang juga penjaring terbanyak Piala Asia 2011 menyifatkan kejohanan kali ini sebagai peluang terbaik buat Korea Selatan menamatkan penantian menjulang trofi itu selepas kali terakhir memenanginya pada 1960.

"Saya fikir ini adalah salah satu peluang terbaik kami untuk memenangi gelaran. Kami mempunyai pemain yang boleh dicontohi, Son Heung Min dan secara peribadi, saya mahu melihat dia merangkul trofi itu.

"Dia seorang lagenda dalam kalangan lagenda di Korea Selatan. Malah, lihat barisan pemain di sekelilingnya yang boleh diharapkan. (Kim) Min Jae bermain dengan baik di Bayern Munich," katanya.

Berita Harian X