Isnin, 1 Januari 2024 | 7:49am
Penyerang Fulham dari Mexico, Raul Jimenez (kanan) bersaing dengan pemain tengah Arsenal, Declan Rice pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London lewat malam tadi. – Foto AFP
Penyerang Fulham dari Mexico, Raul Jimenez (kanan) bersaing dengan pemain tengah Arsenal, Declan Rice pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London lewat malam tadi. – Foto AFP

Apa dah jadi Arsenal?

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata pasukannya mempamerkan persembahan terburuk musim ini ketika tewas 2-1 di Fulham lewat malam tadi yang menjejaskan aspirasi The Gunners untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Anak buah Arteta hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir EPL sekali gus ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Liverpool dengan beraksi lebih satu perlawanan.

Namun ketika pengendali dari Sepanyol itu masih melihat faktor positif ketika tewas di tangan Aston Villa dan West Ham dalam beberapa minggu kebelakangan, bos Arsenal itu tidak mempertahankan pemainnya di Craven Cottage.

"Kami tidak cukup bagus," kata Arteta. "Sebelum ini kami tewas perlawanan (menentang West Ham) kami berhak untuk menang dan hari ini kami terlalu jauh daripada tahap itu.

"Yang ini anda perlu ketepikan kerana ia persembahan terburuk musim ini."

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta bersama penolong pengurus Albert Stuivenberg ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Fulham di Craven Cottage, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta bersama penolong pengurus Albert Stuivenberg ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Fulham di Craven Cottage, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Kekurangan penyerang klinikal dalam kalangan skuad Arteta dikenal pasti sebagai punca yang mungkin menghalang mereka daripada memenangi liga buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

Namun Arsenal juga hanya mencatat satu perlawanan tidak dibolosi dalam lapan perlawanan sepanjang Disember.

Arteta menolak cadangan beliau perlu memantapkan skuadnya ketika jendela perpindahan Januari.

"Sekiranya kami bermain seperti yang dipamerkan dalam 19 perlawanan lain kami akan berada di puncak," katanya.

"Jika kami beraksi seperti hari ini, kami tidak akan pergi ke mana-mana. Hari ini satu hari yang terlalu sukar untuk diterima."

Penyerang Arsenal, Bukayo Saka (kiri) menyumbat gol pertama menentang Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Arsenal, Bukayo Saka (kiri) menyumbat gol pertama menentang Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Arsenal kekal di tangga keempat, namun mungkin boleh terkeluar daripada persaingan ke Liga Juara-Juara sebelum aksi mereka dalam EPL berikutnya dalam masa tiga minggu lagi.

Fulham tewas tiga perlawanan terdahulu mereka dalam liga tanpa menjaringkan sebarang gol.

Kembalinya Raul Jimenez daripada penggantungan ternyata menjadi pemangkin persembahan memukau dan tiga mata buat anak buah Marco Silva.

Jimenez meledak masuk gol penyamaan selepas Bukayo Saka meletakkan Arsenal di depan pada awal aksi.

Bobby De Cordova-Reid kemudian meraih gol kemenangan selepas sejam susulan kegagalan Arsenal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya berikutan sepakan sudut. – AFP

Berita Harian X