Ahad, 31 Disember 2023 | 9:53pm
Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema antara nama besar yang menyertai Liga Pro Saudi. - Foto AFP
Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema antara nama besar yang menyertai Liga Pro Saudi. - Foto AFP

Ronaldo jangka lebih ramai ke Arab Saudi

RIYADH: Cristiano Ronaldo percaya keputusannya berpindah ke Arab Saudi mencetus perkembangan Liga Pro Saudi dan menjangkakan lebih ramai pemain berprofil tinggi mengikut jejaknya.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu menjadi pemain import termahal bola sepak Arab Saudi apabila menyertai Al-Nassr pada Disember tahun lalu, selepas disingkirkan oleh Manchester United.

Menjelang perpindahannya ke Arab Saudi, bintang Portugal itu berkata liga Saudi akan menjadi antara lima liga terbaik di dunia.

Genap setahun selepas menyertai Al-Nassr, Ronaldo menegaskan jangkaannya tepat dan menyelar kembali mereka yang mendakwa perpindahannya ke negara Timur Tengah itu adalah kerana faktor kewangan.

"Saya gembira kerana ketika mengambil keputusan untuk datang ke sini, tiada sesiapa yang percayakan apa yang saya kata.

"Tetapi itu sudah berlalu. Ia tidak penting lagi, apa yang penting ialah liga ini sudah berkembang dan pemain-pemain mahu datang ke sini kerana mereka sedar liga ini sengit dan seluruh dunia menyaksikannya," kata Ronaldo.

Liga Pro Saudi ternyata mencetus fenomena sepanjang 12 bulan lalu, dengan nama-nama besar seperti Sadio Mane dan Aymeric Laporte menyertai Ronaldo di Al-Nassr.

Neymar menyertai Al-Hilal pada Ogos, dengan kelab itu turut menandatangani Aleksandar Mitrovic dari Fulham dan kapten Wolves, Ruben Neves, serta Kalidou Koulibaly (Chelsea) dan Sergej Milinkovic-Savic (Lazio).

Karim Benzema dan N'Golo Kante memilih Al-Ittihad, yang turut dibintangi bekas pemain Liverpool, Fabinho manakala Jordan Henderson dan Roberto Firmino juga meninggalkan Anfield untuk ke Arab Saudi.

Henderson menyertai Al-Ettifaq yang dikendali legenda Liverpool, Steven Gerrard manakala Firmino bersama Al-Ahli yang menampilkan beberapa bekas pemain Liga Perdana Inggeris, antarannya penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy, bintang Manchester City, Riyad Mahrez dan pemain sayap Newcastle, Allan Saint-Maximin.

Seorang lagi bintang Liverpool, Mohamed Salah menjadi buruan utama kelab-kelab Saudi dan Ronaldo yakin lebih ramai pemain ternama akan menyertai liga berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X