Ahad, 31 Disember 2023 | 5:04pm
Penjaga gol Pahang Rangers FC, Zainulzahin Sinuan yakin pasukannya masih mampu menyerlah musim depan. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Penjaga gol Pahang Rangers FC, Zainulzahin Sinuan yakin pasukannya masih mampu menyerlah musim depan. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Zainulzahin yakin Pahang Rangers FC menyerlah musim depan

KUANTAN: Juara berganda Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL), Pahang Rangers FC yakin dapat mempertahankan kejuaraan musim depan walaupun kehilangan beberapa tonggak utamanya.

Ini ditegaskan penjaga gol utama Tok Gajah, Zainulzahin Sinuan yang yakin pasukannya mampu menjadi pencabar utama saingan MPFL, seterusnya berusaha mempertahankan kejuaraan berganda yang disandang.

Menurutnya, di atas kertas mungkin kekuatan Pahang Rangers FC sedikit terjejas selepas ketiadaan ramai pemain utama termasuk dua tenaga import, Sergio Jamur De Sousa dan Amin Nasrollah Zadeh yang menjadi pencetus pada kecemerlangan musim ini.

"Saya memberi jaminan Pahang Rangers FC tetap masih lagi berbisa musim depan, barisan pemain yang ada masih lagi mampu mengalas sandaran diletakan oleh jurulatih Gerard Casas.

"Empat pemain tempatan baharu sudah memulakan latihan, dua awang import kelahiran Brazil dijangka muncul tidak lama lagi. Persiapan fasa pertama Pahang Rangers FC sudah bermula dengan satu perlawanan persahabatan antarabangsa diadakan minggu lalu," kata Zainulzahin.

Zainulzahin yang memasuki musim kedua bersama Tok Gajah menambah, dia berjanji untuk memberi persembahan terbaik musim depan bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih dan pengurusan Pahang Rangers FC.

Empat pemain tempatan baharu bersama Tok Gajah ialah Muhammad Amirul Khairuddin, Muhammad Sirhan Aiman, Tuah Eizlan Aminnudin dan Iqhmal Najmie Ismail, manakala tonggak import pula ialah pemain kelahiran Brazil, Murilo Carlos Saad.

Sementara itu, tinjauan sesi latihan skuad Pahang Rangers FC di Stadium Tertutup SUKPA semalam mendapati semangat pemain begitu tinggi walaupun tanpa kehadiran jurulatih (Casas) yang masih bercuti.

Berita Harian X