Sabtu, 30 Disember 2023 | 10:37pm
Penyerang Portugal dan Al-Nassr, Cristiano Ronaldo tidak tersenarai dalam kelompok 10 pemain bola sepak terbaik dunia tahun ini. - Foto AGENSI
Penyerang Portugal dan Al-Nassr, Cristiano Ronaldo tidak tersenarai dalam kelompok 10 pemain bola sepak terbaik dunia tahun ini. - Foto AGENSI

Ronaldo tiada dalam senarai 10 terbaik dunia

RIYADH: Cristiano Ronaldo sekadar memuat naik emoji ketawa apabila dia tidak tersenarai dalam kelompok 10 pemain bola sepak terbaik dunia tahun ini yang dikeluarkan oleh Persekutuan Antarabangsa Sejarah dan Statistik Bolasepak (IFFHS).

Organisasi itu mengeluarkan ranking tahunan untuk 10 pemain bola sepak terbaik di dunia awal minggu ini, dengan penyerang Manchester City, Erling Haaland dari Norway di tangga teratas.

Penyerang 38 tahun dari Portugal itu langsung tidak tersenarai, dengan hanya Bernardo Silva menjadi wakil tunggal negaranya dalam senarai berkenaan.

Senarai itu dimuat naik oleh laman berita Portugal, A Bola, dan Ronaldo, yang kini bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, sekadar meletakkan emoji ketawa di laman Instagram.

Penyerang Perancis, Kylian Mbappe menduduki tangga kedua, manakala seteru tradisi Ronaldo, Lionel Messi - yang turut memenangi Ballon d'Or kelapannya awal tahun ini - di tangga ketiga.

Ronaldo kembali beraksi untuk kelabnya pada Hari Boxing, meledak dua gol untuk jaringan ke-22 dan 23nya dalam semua pertandingan musim ini ketika kemenangan 5-2 ke atas Al-Ittihad yang dibintangi Karim Benzema.

Dua gol berkenaan menjadikan keseluruhan 53 gol dijaringkan Ronaldo sepanjang tahun 2023. Dia hanya gagal menemui sasaran dalam empat aksi liga musim ini. - AGENSI

Berita Harian X