Sabtu, 30 Disember 2023 | 9:09am
Penyerang Inter Milan, Marko Arnautovic meraikan jaringannya ketika menentang Genoa pada aksi Serie A Itali di Stadio Comunale Luigi Ferraris, Genoa awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Inter Milan, Marko Arnautovic meraikan jaringannya ketika menentang Genoa pada aksi Serie A Itali di Stadio Comunale Luigi Ferraris, Genoa awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Inter gigit jari diikat Genoa 1-1

GENOA, Itali: Pendahulu Serie A, Inter Milan dipaksa seri 1-1 oleh Genoa di gelanggang lawan awal pagi tadi ketika gol pertama Marko Arnautovic dalam liga buat kelab itu dipadamkan oleh tandukan Radu Dragusin.

Inter kekal di tangga teratas dengan 45 mata tetapi keputusan itu memberikan peluang buat pasukan tangga kedua Juventus, dengan 40 mata, untuk merapatkan jurang ketika mereka menanti kunjungan AS Roma hari ini.

Genoa pula di tangga ke-13 dengan 20 mata.

Inter memecah kebuntuan selepas 42 minit apabila penyerang Austria, Arnautovic mendapati dia berada di tempat yang tepat untuk menampan masuk bola muntah susulan rembatan voli Nicolo Barella.

Dia mencetak gol sulungnya bersama kelab itu dalam Serie A selepas diketepikan bagi beberapa perlawanan kerana kecederaan hamstring selepas berpindah secara pinjaman dari Bologna hujung musim lalu.

Asap tebal yang menyukarkan penglihatan susulan pembakaran suar pada aksi Genoa menentang Inter Milan dalam Serie A Itali di Stadio Comunale Luigi Ferraris, Genoa awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Asap tebal yang menyukarkan penglihatan susulan pembakaran suar pada aksi Genoa menentang Inter Milan dalam Serie A Itali di Stadio Comunale Luigi Ferraris, Genoa awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Bagaimanapun, Genoa menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama apabila tandukan kencang Dragusin menerusi sepakan sudut menewaskan Yann Sommer sekalipun penjaga gol itu sudah berjaya menepis bola.

"Kami sedar bagaimana perlawanan yang akan kami hadapi. Genoa berada dalam kondisi terbaik, kedua-dua secara fizikal dan mental, ia perlawanan yang amat sukar," kata pengurus Inter, Simone Inzaghi kepada DAZN.

"Babak kedua mungkin berbeza jika kami tidak melepaskan gol pada masa kecederaan separuh masa pertama. Kami mahu menang, kami tidak gembira dengan satu mata, tetapi kami perlu meneruskannya dan ingat setiap perlawanan menghadirkan bahaya."

Perlawanan itu terganggu kira-kira lapan minit sebaik selepas sepak mula apabila suar dibakar menyebabkan asap tebal yang menyukarkan penglihatan susulan hujan lebat. – REUTERS

Berita Harian X