Khamis, 28 Disember 2023 | 8:09pm
Skuad kebangsaan kendalian Kim Pan Gon menjalani latihan bagi menghadapi Piala Asia 2023 Qatar di Wisma FAM. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Skuad kebangsaan kendalian Kim Pan Gon menjalani latihan bagi menghadapi Piala Asia 2023 Qatar di Wisma FAM. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Program naturalisasi tunjuk impak positif

KUALA LUMPUR: Program naturalisasi untuk skuad kebangsaan sewajarnya diteruskan sebagai usaha untuk membantu meningkatkan lagi kualiti skuad Harimau Malaya dan juga bola sepak tempatan.

Pandangan itu dilontarkan 'Harimau Import' baharu negara, Romel Morales yang melihat impak program naturalisasi sedikit sebanyak 'mempengaruhi' perkembangan positif yang ditunjukkan skuad kebangsaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Saya rasa ya (program naturalisasi diteruskan). Malaysia melakukan kerja yang bagus dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan banyak peningkatan bukan sahaja untuk skuad kebangsaan tetapi juga bola sepak tempatan.

"Setakat ini, saya lihat semuanya berjalan dengan pantas dan ini bagus untuk saingan bola sepak tempatan dan juga untuk pasukan kebangsaan. Saya harap momentum ini dapat diteruskan," katanya.

Malah, pemain dari Colombia itu juga bertekad untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan dengan memastikan kehadirannya dapat memperkasa skuad kebangsaan pada Piala Asia 2023 nanti.

"Saya datang ke sini untuk memberikan nilai tambah kepada pasukan yang sudahpun menunjukkan kualiti. Jadi saya perlu mengambil tanggungjawab ini dan tahu bagaimana situasi dan kedudukan saya ketika ini.

"Saya perlu mengambil peluang ini sebaiknya dan membantu pasukan dengan kualiti yang saya ada. Sudah tentu saya perlu menyesuaikan diri secepat mungkin dengan pasukan," kata Romel.

Sebagai rekod, empat pemain naturalisasi dipanggil pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon pada kem latihan pusat sebagai persediaan ke Piala Asia 2023, pertengahan bulan depan.

Selain Romel, tiga lagi pemain naturalisasi adalah Mohamadou Sumareh dan Endrick dos Santos serta rakan sepasukan Romel di KL City FC, Paulo Josue.

Berita Harian X