Rabu, 27 Disember 2023 | 6:49pm
Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian Juan Torres Garrido menunggu penerbangan pulang di Shanghai Pudong International Airport, China selepas dua Perlawanan Antarabangsa Tier 2 menentang China B-23. - Foto ihsan FAM
Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian Juan Torres Garrido menunggu penerbangan pulang di Shanghai Pudong International Airport, China selepas dua Perlawanan Antarabangsa Tier 2 menentang China B-23. - Foto ihsan FAM

B-23 perlu perkemas benteng

KUALA LUMPUR: Bahagian pertahanan menjadi antara aspek yang perlu diperkemas skuad Bawah 23 tahun (B-23) menjelang aksi Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Qatar, April depan.

Anak buah Juan Torres Garrido itu melepaskan dua gol pada aksi persahabatan kedua menentang skuad B-23 China di Stadium Jinshan, Shanghai, sekali gus tewas 1-2 selepas cemerlang menewaskan lawan sama 1-0 pada aksi pertama, Sabtu lalu.

"Bahagian pertahanan agak goyah sedikit walaupun saya turut beraksi kali ini. Saya tahu saya goyah sedikit, Safwan (Mazlan) pun goyah sedikit.

"Jadi kalau bahagian pertahanan ini dapat diperbaiki sedikit, pertahanan pasukan boleh jadi lebih baik pada masa akan datang nanti," kata tonggak tengah skuad B-23, Harith Haiqal Adam Afkar.

Dalam masa sama, pertahanan muda Selangor FC (SFC) ini mengakui berpuas hati dengan dua perlawanan di China yang menjadi medan persiapan sebelum mereka turun ke Piala Asia B-23 nanti.

Jelasnya, banyak perubahan dapat disaksikan di bawah kendalian Garrido dan dia percaya pasukan itu mampu menjadi bertambah baik menjelang sepak mula di Qatar, empat bulan lagi.

"Dengan kemasukan jurulatih baharu, corak permainan pasukan pun banyak perubahan berbanding sebelum ini. Pemain selesa, serasi dan faham dengan taktikal yang diterapkan.

"Kita juga perlu yakin dengan kemampuan kita sebelum turun untuk bermain supaya semuanya dapat berjalan dengan lancar," katanya.

Sebagai rekod, skuad B-23 diundi dalam Kumpulan D pada Piala Asia B-23 bersama bersama juara dan naib juara 2018, Uzbekistan dan Vietnam selain Kuwait turut diundi dalam kumpulan sama.

Berita Harian X