Rabu, 27 Disember 2023 | 11:55am
Lionel Messi (tengah) membantu Inter Miami menjulang trofi pertama mereka. - Foto AFP
Lionel Messi (tengah) membantu Inter Miami menjulang trofi pertama mereka. - Foto AFP

Jiran Messi dapat durian runtuh

MIAMI: Nilai hartanah berhampiran kediaman Lionel Messi melonjak AS$25 juta (RM115.86 juta) selepas perpindahan bintang Argentina itu ke Inter Miami.

Sejak tiba di Amerika Syarikat, Messi menjadi kapten Miami dan meledak 11 gol dalam 14 perlawanan termasuk membantu pasukannya menjulang trofi pertama dalam sejarah kelab.

Bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu bukan sahaja membawa impak segera di atas padang, tetapi turut mempengaruhi nilai pasaran hartanah dalam kejiranannya.

Menurut salah seorang usahawan, Patrick Bet-David, nilai rumah agamnya di Fort Lauderdale bertambah AS$25 juta (RM115.86 juta) selepas Messi pindah ke sebelah rumahnya.

Messi menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Major League Soccer, Inter Miami yang dimiliki David Beckham pada Jun.

Selepas beberapa bulan tinggal di apartmen mewah di tepi pantai, Messi dan isterinya, Antonella membeli rumah agam pada September.

Kediaman baharu bintang Argentina itu mempunyai 10 bilik tidur, bilik spa, dua jeti bot dan kolam renang. - AGENSI

Berita Harian X