Selasa, 26 Disember 2023 | 7:00pm
Pasukan PDRM paling banyak kumpul kad merah dan kuning dalam saingan Liga Super musim ini. - Foto PDRM FC FB
Pasukan PDRM paling banyak kumpul kad merah dan kuning dalam saingan Liga Super musim ini. - Foto PDRM FC FB

Amirul Afiq pemain paling 'nakal', PDRM pasukan paling 'keras'

KUALA LUMPUR: Siapakah pemain yang boleh dianggap sebagai pemain 'nakal' dan 'keras' dalam Liga Super untuk musim 2023?

Istilah ini diberikan kepada pemain yang menerima kad kuning dan kad merah terbanyak dan berdasarkan statistik yang diperoleh dalam laman sesawang Liga Bolasepak Malaysia (MFL), anugerah itu menjadi milik pemain Kedah Darul Aman (KDA FC), Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman.

Ini selepas pemain itu bukan sahaja menghimpun enam kad kuning tetapi turut menjadi satu antara dua pemain yang menerima dua kad merah pada musim ini selain pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco namun pemain itu hanya menerima satu kad kuning.

Selain itu, antara pemain 'keras' yang lain adalah pemain Negeri Sembilan FC (NSFC), Tommy Mawat Bada dengan 10 kad kuning serta satu kad merah, pemain Kelantan United, Fandi Othman dan juga pemain PDRM FC, Fadi Awad yang dilayangkan sembilan kad kuning dan satu kad merah.

Amirul Afiq pemain paling banyak dilayangkan kad merah pada saingan Liga Super musim ini. - Foto KDA FC
Amirul Afiq pemain paling banyak dilayangkan kad merah pada saingan Liga Super musim ini. - Foto KDA FC

Pemain Perak FC, Sunday Afolabi pula menghimpun enam kad kuning dan satu kad merah manakala pemain Penang FC, A Namathevan pula dilayangkan lima kad kuning dan satu kad merah.

Penyerang juga tidak terlepas daripada kad merah apabila Ivan Mamut (Terengganu FC) dan T Saravanan (KL City FC) turut dilayangkan satu kad merah selain menghimpun empat kad kuning.

Secara keseluruhan, pasukan paling 'keras' dalam Liga Super adalah PDRM FC selepas juara Piala Cabaran MFL 2023 itu dilayangkan 68 kad kuning dan empat kad merah.

Beberapa pasukan yang turut dilayangkan empat kad merah sepanjang musim ini adalah Penang FC (53 kad kuning) dan KDA FC (49 kad kuning).

Perak FC dan KL City FC pula masing-masing menerima tiga kad kuning namun Perak FC hanya dilayangkan 47 kad kuning, kurang dua berbanding kad kuning KL City FC.

Beberapa pasukan 'baik' apabila tidak menerima sebarang kad merah iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mengumpul 36 kad kuning, Kuching City FC (45 kad kuning) dan Sabah FC (55 kad kuning).

Sri Pahang FC (SPFC) dan Selangor FC (SFC) masing-masing dilayangkan 42 dan 45 kad kuning.

Berita Harian X