Selasa, 26 Disember 2023 | 5:16pm
Pemain Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri mendapat tawaran menarik. - FOTO PRFC
Pemain Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri mendapat tawaran menarik. - FOTO PRFC

Ridzwan nafi ponteng latihan, akui dapat tawaran lebih baik

KUANTAN: Pemain Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri tampil menafikan dia ponteng latihan selama sebulan, sebaliknya menegaskan dia bercuti untuk pulang ke kampung menziarahi bapanya yang sakit.

Mengakui terkilan dengan tuduhan yang dilemparkan, pemenang Kasut Emas Liga Futsal Kebangsaan itu menegaskan ketiadaannya juga sudah dimaklumkan kepada pengurus pasukan.

"Saya bukan menghilangkan diri kerana saya masih menghormati kontrak yang berbaki semusim lagi (2024) dengan Tok Gajah.

"Saya telah maklumkan kepada pengurus pasukan yang saya akan bercuti untuk pulang ke kampung," katanya dihubungi di sini hari ini.

Ridzwan berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu daripada media tindakan disiplin akan dikenakan terhadapnya kerana tidak turun berlatih selama sebulan.

"Mungkin ada pihak yang cuba mengkhianati saya sehingga timbul kes saya ponteng latihan gara-gara ingin meninggalkan pasukan dan berhijrah ke pasukan baharu musim depan

"Memang benar saya ingin berpindah musim depan selepas mendapat tawaran yang lebih baik, namun semua itu masih lagi dalam proses yang mungkin mengambil masa untuk diselesaikan dan bukannya mengikut pintu belakang.

"Saya perlu menerima tawaran lebih baik dalam usaha membela nasib keluarga yang memerlukan bantuan saya kerana kami bukan orang senang," katanya.

Berita Harian X