Selasa, 26 Disember 2023 | 4:04pm
Kapten Harimau Malaya B-23, Mukhairi Ajmal (kanan) mengasak pemain China (tengah) pada aksi persahabatan di Shanghai.
Kapten Harimau Malaya B-23, Mukhairi Ajmal (kanan) mengasak pemain China (tengah) pada aksi persahabatan di Shanghai.

China B-23 balas dendam ke atas Harimau Malaya B-23

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya Bawah 23 (B-23) tahun yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua tumbang 1-2 pada aksi persahabatan kedua menentang skuad B-23 China di Stadium Jinshan, Shanghai, sebentar tadi.

Kemenangan ini menyaksikan China yang dibimbing Cheng Yaodong berjaya membalas dendam selepas tewas 0-1 pada aksi pertama di venue sama, Sabtu lalu.

Pada aksi terbabit, China mendahului seawal minit keempat menerusi tandukan Du Yuesheng sebelum Malaysia mengikat kedudukan pada minit ke-35 apabila Aliff Izwan Yuslan pantas menyambar bola muntah hasil percubaan Syahir Bashah yang terkena palang.

Malang menimpa Malaysia selepas Aliff Izwan dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-39 dan China mendahului 2-1 apabila Tao Qianglong menyempurnakan sepakan percuma dari dalam kotak penalti di hujung babak pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia yang beraksi kurang seorang pemain berjaya menahan asakan China yang kerap menyerang dan Rahadiazli Rahalim cemerlang menafikan percubaan Qianglong di depan pintu gol negara pada minit ke-72.

Tiada tambahan jaringan menyaksikan keputusan 1-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Terdahulu, aksi pertama di venue sama, Sabtu lalu, skuad negara meraih kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan minit akhir daripada pertahanan tengah, Harith Haiqal Adam Afkar.

Sebagai rekod, dua aksi persahabatan berdepan skuad B-23 China sebagai persiapan skuad negara bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.

Pada saingan terbabit, skuad B-23 diundi dalam Kumpulan D bersama juara dan naib juara 2018, Uzbekistan dan Vietnam selain Kuwait turut diundi dalam kumpulan sama.

Berita Harian X