Selasa, 26 Disember 2023 | 2:35pm
Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino (kanan) memberi arahan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux, Wolverhampton. - Foto REUTERS
Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino (kanan) memberi arahan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux, Wolverhampton. - Foto REUTERS

Bukan kerana kurang disiplin - Pochettino

LONDON: Mauricio Pochettino menafikan Chelsea kendaliannya mempunyai masalah disiplin selepas muncul pasukan paling banyak mengutip kad kuning dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Raheem Sterling dan Cole Palmer yang tidak dapat beraksi menentang Crystal Palace esok akibat penggantungan antara lima pemain Chelsea yang dilayangkan kad kuning ketika menentang Wolves.

Pochettino turut dilayangkan kad kuning dalam kekalahan ke-19 Chelsea tahun ini - kekalahan terbanyak untuk kelab di liga tertinggi Inggeris.

Chelsea mengumpul 56 kad kuning dalam saingan liga musim ini, tidak termasuk tiga kepada jurulatih pasukan.

Di Wolves, Sterling dilayangkan kad kuning kerana melakukan simulasi, dan Palmer, Malo Gusto serta Nicolas Jackson menerima kad masing-masing dalam tempoh enam minit selepas Mario Lemina meletakkan Wolves 1-0 di depan.

Pochettino tidak percaya situasi itu berpunca daripada masalah disiplin anak buahnya.

"Tidak - ia adalah kerana kami bermain untuk Chelsea, kelab yang besar dan anda merasai tekanannya.

"Apabila kecewa dan kurang pengalaman, ia sesuatu yang masih boleh diperbaiki. Ini adalah musim pertama Palmer di Liga Perdana Inggeris dan ia adalah perkara biasa.

"Pemain-pemain mahu menang. Ia bukan kerana kurang disiplin, tetapi keupayaan membaca situasi permainan," kata Pochettino.

Pochettino berharap Moises Caicedo akan kembali beraksi esok selepas tidak dapat diturunkan pada Ahad kerana demam, manakala Enzo Fernandez masih mengalami masalah kesihatan. - AGENSI

Berita Harian X