Isnin, 25 Disember 2023 | 9:00pm
Aksi Mukhairi (kiri) ketika menentang skuad China B-23 Sabtu lalu.
Aksi Mukhairi (kiri) ketika menentang skuad China B-23 Sabtu lalu.

Mukhairi minta rakan lebih tenang hadapi China B-23

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya B-23 perlu lebih tenang dan selesa dengan bola bagi menghadapi aksi persahabatan kedua berdepan skuad China B-23 di Stadium Jinshan, Shanghai, esok.

Skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu jelas berada dalam motivasi terbaik selepas berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas lawan sama pada aksi pertama, Sabtu lalu.

Kapten skuad B-23, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi mengharapkan rakan sepasukannya dapat tampil dengan aksi yang lebih baik dalam misi melakar dua kemenangan berturut-turut.

"Taktikal sudah baik tetapi kita perlu sabar sedikit dengan bola. Saya harap kita dapat tenang dengan bola dan sesuaikan diri dengan bola.

"Saya harap kita boleh buat yang lebih baik untuk aksi kedua nanti," kata pemain tengah Selangor FC (SFC) itu.

Pada masa sama, pemain berusia 22 tahun itu juga mengakui rakan sepasukannya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk yang ketika ini mencecah 6 darjah Celsius.

"Pemain bersemangat walaupun cuaca sejuk dan kita dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di sini. Pemain kekal fokus untuk menghadapi perlawanan akan datang," katanya.

Sebagai rekod, aksi pertama menyaksikan tonggak pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada masa kecederaan selepas kedua-dua pasukan buntu mendapatkan jaringan sepanjang tempoh 90 minit.

Keputusan itu boleh dianggap petanda positif buat Garrido yang dilantik ke jawatan itu pada Oktober lalu.

Berita Harian X