Isnin, 25 Disember 2023 | 3:23pm
Pemain Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri (kiri) dan Mahadir Harahap Khairuddin gagal tampil mengikuti sesi latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL). - Foto NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Pemain Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri (kiri) dan Mahadir Harahap Khairuddin gagal tampil mengikuti sesi latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL). - Foto NSTP/MOHD RAFI MAMAT

Pahang Rangers kecewa Ridzwan, Mahadir ponteng latihan

KUANTAN: Persiapan kem juara berganda musim ini, Pahang Rangers FC menghadapi saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) musim depan terjejas apabila dua pemain senior ponteng latihan.

Pemain terbabit, Muhamad Ridzwan Bakri dikatakan sudah sebulan tidak muncul berlatih dan kelibat rakannya, Mahadir Harahap Khairuddin pula lebih seminggu tidak kelihatan.

Episod kali pertama berlaku dalam skuad bimbingan jurulatih, Gerard Casas itu tidak pernah diduga pengurusan pasukan yang sebelum ini begitu menghargai dua pemain kebangsaan itu.

Menurut Casas, dia tidak menyangka dua pemain terbabit sanggup ponteng latihan kerana sebelum ini mereka antara pemain yang berdisiplin dalam pasukan.

"Saya amat kecewa dengan sikap tidak profesional dua pemain terbabit, apa juga masalah yang dihadapi mereka perlu berbincang dengan saya dan pihak pengurusan pasukan... bukan menyepi diri tidak turun mengikuti latihan.

"Pemain terbabit masih mempunyai kontrak bermain dengan Pahang Rangers FC, dengan Ridzwan masih mempunyai setahun baki kontrak dan Mahadir baharu sahaja menandatangani kontrak lanjutan selama tiga tahun.

"Berdasarkan kontrak yang masih ada, mereka perlu mengikuti syarat ditetapkan, termasuk mengikuti latihan prapersiapan MPFL 2024," katanya selepas perlawanan persahabatan antarabangsa Tok Gajah bertemu PON DPI Jakarta di Setapak, Kuala Lumpur kelmarin.

Casas menambah, sebagai jurulatih dan rakan dia mengingatkan Ridzwan dan Mahadir supaya berfikir panjang dan tidak membuat tindakan melulu yang akhirnya mengundang perkara tidak diingini.

Katanya, pasukan masih memerlukan khidmat kedua-dua pemain itu dan mereka sepatutnya menghargai jasa pasukan yang sentiasa memberi perhatian dalam semua perkara.

"Peluang untuk Ridzwan dan Mahadir untuk kembali bersama pasukan masih terbuka luas, sebarang masalah perlu melalui proses perbincangan dengan pengurusan pasukan, bukan bersikap membisu," katanya.

Berita Harian X