Isnin, 25 Disember 2023 | 1:45pm
Antara tujuh pemain Manchester United yang tidak ada masa depan bersama pasukan serta pengurus, Erik ten Hag.
Antara tujuh pemain Manchester United yang tidak ada masa depan bersama pasukan serta pengurus, Erik ten Hag.

Tujuh pemain United dalam bahaya

LONDON: Revolusi Jim Ratcliffe di Manchester United sudah bermula dan beliau dijangka melakukan rombakan besar-besaran di kelab itu.

Lelaki terkaya Britain itu melengkapkan pemerolehan sahamnya selepas menanti lama di Red Devils semalam dengan memegang 25 peratus saham kelab itu.

Difahamkan Ratcliffe akan membuat perubahan struktur kelab itu dan sedang mempertimbangkan untuk memecat pengurus Erik ten Hag.

Beliau juga dijangka merombak semula skuad pengendali dari Belanda yang gagal beraksi baik itu.

Tujuh pemain berada dalam senarai yang mungkin dicantas Ratcliffe dan SunSport meramalkan beberapa bintang yang tidak mempunyai masa depan lagi di Old Trafford.

Jadon Sancho

Pemain antarabangsa England itu diharamkan daripada skuad utama sejak mengecam Ten Hag susulan kekalahan 2-1 United di tangan Arsenal pada September lalu.

Sancho enggan memohon maaf kerana mengkritik pengurusnya dan mungkin dianggap bermasalah oleh Ratcliffe.

Casemiro

Pemenang Liga Juara-Juara lima kali itu tidak lagi beraksi seperti ketika mengemudi bahagian tengah Real Madrid selama bertahun-tahun.

Pemain Brazil itu dilihat merudum musim ini, tidak hairan peminat meminta pemain remaja Kobbie Mainoo menggantikannya.

Gaji Casemiro antara yang termahal dalam skuad jadi dengan persembahan buruk menjadikannya antara calon serius untuk disingkirkan.

Antony

Pembelian kedua termahal Manchester United gagal membalas jasa Ten Hag kerana yakin terhadap kemampuannya.

Pemain Brazil itu - yang bernilai £85 juta (RM499 juta) - hanya menjaringkan lapan gol dan tiga umpanan gol sepanjang 18 bulan beraksi di Theatre of Dreams.

Persembahan buruknya - di samping gayanya yang mengecewakan serta gaji - hampir pasti meletakkannya dalam senarai untuk dijual.

Raphael Varane

Pemenang Piala Dunia dan Liga Juara-Juara empat kali, Varane turut berisiko dibuang susulan pertelagahannya dengan Ten Hag, yang bagaimanapun dinafikan pengendali dari Belanda itu.

Pertahanan Perancis itu dilaporkan tidak gembira dengan situasi semasanya dan menimbangkan mengenai masa depannya di kelab itu, yang boleh memilih untuk mengurangkan kerugian mereka dan membiarkan kontraknya tamat pada musim panas akan datang.

Harry Maguire

Masa depan pemain pertahanan paling mahal di dunia kelihatan tidak menentu hanya beberapa bulan lalu. Setiap perkara yang dilakukannya kelihatan salah.

Malah cadangan perpindahan pada musim panas ke West Ham tidak menjadi kenyataan.

Maguire bagaimanapun bangkit dan kini mula menunjukkan dia mampu mengembalikan semula prestasi terbaiknya.

Dia kini dilihat mempunyai masa depan di kelab itu sekalipun perlu dilihat sama ada dia memutuskan untuk terus beraksi buat penyokong yang mengecamnya atau berpindah mencari angin baharu.

Andre Onana

Untuk menyatakan musim sulung Onana di Old Trafford satu mimpi ngeri tidaklah begitu tepat.

Penjaga gol Cameroon itu membuat beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga sesetengah peminat meminta kelab itu mengikat semula David de Gea.

Dia tidak akan dijual pada Januari ini tetapi Ratcliffe mungkin terpaksa memikirkan semula mengenai penjaga gol itu jika dia terus membuat kesilapan memalukan.

Bruno Fernandes

Pemain tengah dari Portugal menjadi 'Mr Consistent' buat Manchester United sejak menyertai mereka dari Sporting Lisbon pada Januari 2020.

Namun kemarahannya di tengah padang menyebabkan ramai yang menggesa supaya dia dilucutkan daripada jawatan kapten, malah beberapa penyokong mahu dia dijual.

Tidak mungkin dia akan berpindah pada Januari ini tetapi ada kemungkinan boleh berlaku pada musim panas akan datang. – AGENSI

Berita Harian X