Ahad, 24 Disember 2023 | 11:21pm
Pemain Wolves, Matt Doherty meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang Chelsea. - REUTERS
Pemain Wolves, Matt Doherty meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang Chelsea. - REUTERS

Chelsea ikut Man United masuk 'gua'

LONDON: Wolves mencipta rekod tersendiri apabila meraih kemenangan dua kali berturut-turut ke atas Chelsea buat kali pertama sejak 1975.

Kemenangan 2-1 dilakar Wolves pada aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi menyaksikan The Blues kendalian Mauricio Pochettino terus kempunan meraih kemenangan dalam empat kunjungan ke Molineux.

Malah, ia adalah kekalahan keempat dalam enam aksi terakhir liga yang menyaksikan Chelsea kini sekadar menduduki tempat ke-10 dengan 22 mata manakala Wolves di belakang mereka atas perbezaan jaringan.

Anak buah Gary O'Neil itu juga belum lagi tewas di Molineux dalam tujuh aksi apabila menang empat perlawanan dan seri dalam tiga perlawanan.

Pada aksi terbabit, Chelsea yang masih segar dengan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Liga Inggeris ketinggalan pada minit ke-51 selepas Mario Lemina meletakkan tuan rumah di depan.

Matt Doherty kemudian mengukuhkan kedudukan Wolves dengan gol kedua, tiga minit selepas masa kecederaan.

Pemain Chelsea, Christopher Nkunku menjaringkan gol sagu hati Chelsea ketika menentang Wolves. - REUTERS
Pemain Chelsea, Christopher Nkunku menjaringkan gol sagu hati Chelsea ketika menentang Wolves. - REUTERS

Tiga minit selepas itu, pemain gantian Chelsea, Christopher Nkunku merapatkan jurang gol tetapi ia tidak cukup untuk membantu The Blues membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata. -AGENSI

Berita Harian X