Ahad, 24 Disember 2023 | 12:18pm
Pemain Inter Milan, Yann Bisseck meraikan gol pertama menentang Lecce pada aksi Serie A Itali di San Siro, Milan awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Inter Milan, Yann Bisseck meraikan gol pertama menentang Lecce pada aksi Serie A Itali di San Siro, Milan awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Inter kekang cabaran Juventus

MILAN: Inter Milan mengekalkan pendahuluan empat mata di puncak Serie A Itali selepas menang 2-0 ke atas Lecce awal pagi tadi manakala bintang sedang meningkat Lewis Ferguson memastikan Bologna berada dalam kelompok empat kelab terbaik pada cuti Krismas.

Gol pertama Yann Bisseck di Itali sejurus sebelum rehat di San Siro dan penyudah lewat Nicolo Barella cukup buat Inter untuk bangkit daripada kekalahan di tangan Bologna pada pertengahan minggu dalam Piala Itali sekali gus mengekang ancaman pencabar terdekat Juventus.

Bisseck, 23, bermula kurang baik dalam kariernya di Inter tetapi tandukannya susulan sepakan percuma Hakan Calhanoglu melengkapkan persembahan cemerlang di pertahanan tengah dan membantu Inter melakar kemenangan keempat berturut-turut dalam liga.

Inter memburu kejuaraan liga ke-20 dan kelihatan bersedia melakukannya selepas menundukkan pasukan tangga ke-12 Lecce tanpa bintang serangan yang cedera Lautaro Martinez.

Persembahan hambar Marko Arnautovic di bahagian serangan membuktikan betapa Inter terlalu bergantung harap kepada Martinez yang mengumpul 17 gol.

Sementara itu, Dusan Vlahovic menanduk masuk gol kemenangan sembilan minit sebelum tamat ketika Juve mengatasi Frosinone 2-1 selepas Jaime Baez menyamakan kedudukan buat tuan rumah susulan gol pembukaan sumbangan Kenan Yildiz.

"Seorang penyerang sudah semestinya tidak gembira jika mereka tidak menjaringkan gol atau tidak secara konsisten tetapi saya bekerja keras setiap hari untuk memberikan sesuatu kepada pasukan," kata Vlahovic kepada DAZN.

Bintang remaja Yildiz muncul penjaring gol paling muda Juve dalam Serie A menerusi penamat mengagumkan dari jarak dekat apabila dia menggelecek tiga pemain pertahanan sebelum meledak gol.

Pemain kelahiran Jerman berusia 18 tahun itu, yang dilapor menjadi sasaran Arsenal dan Liverpool, tampil menggantikan Federico Chiesa yang cedera dan berkata dia kini akan meraikannya dengan membelanja rakan sepasukan keluar makan malam.

"Bagi saya, ini terlalu hebat. Terima kasih kepada setiap orang. Kepada peminat, mereka mengagumkan. Lihatlah mereka," katanya.

Pemain Scotland, Ferguson menanduk masuk gol kemenangan empat minit sebelum tamat di Stadio Dall'Ara ketika Bologna meneruskan musim menakjubkan dengan kemenangan 1-0 ke atas Atalanta. – AFP

Berita Harian X