Ahad, 24 Disember 2023 | 8:21am
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berpuas hati membawa pulang satu mata dari Anfield selepas seri 1-1 dengan Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berpuas hati membawa pulang satu mata dari Anfield selepas seri 1-1 dengan Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Aksi paling tegang dalam 20 tahun - Arteta

LIVERPOOL, England: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap keputusan seri 1-1 dengan Liverpool sebagai satu daripada perlawanan paling tegang dalam tempoh sedekad ketika penantian lama kelab utara London itu bagi kemenangan aksi liga di Anfield berpanjangan awal pagi tadi.

Tandukan awal Gabriel memberikan Arsenal harapan bagi kemenangan pertama liga di Liverpool sejak tahun 2012 tetapi Mohamed Salah merembat masuk gol penyamaan mengagumkan sebelum rehat.

Pasukan Arteta tidak mampu memaksa gol kemenangan, tetapi mereka menuju ke Krismas dengan kelebihan satu mata di depan Liverpool dan Aston Villa di puncak liga.

Pengendali dari Sepanyol itu berkata sebelum perlawanan, bermain di Anfield seperti berada dalam mesin basuh dan apa yang diperkatakannya itu ada kebenarannya dalam pertembungan mendebarkan.

"Satu perlawanan bola sepak yang luar biasa, salah satu yang paling tegang pernah saya saksikan dalam 20 tahun di liga ini," kata Arteta.

Gabriel membantu Arsenal mendahului seawal minit keempat menerusi tandukan pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di Anfield awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Gabriel membantu Arsenal mendahului seawal minit keempat menerusi tandukan pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di Anfield awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Bagi kebanyakan masa kami lebih unggul, dalam 20 minit terakhir kami mahukan lebih lagi, tetapi seri satu keputusan yang adil.

"Untuk melihat anak buah saya berani dan yakin untuk beraksi seperti yang kami lakukan di sini, saya fikir pemain kami berhak mendapat pujian melambung."

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji Arsenal menerusi persembahan mantap itu manakala Arteta berkata, Liverpool mencetus huru-hara.

"Kami berazam untuk menyerang dan mencetus masalah buat mereka. Mereka satu pasukan yang sering mencetus huru-hara, mereka yang terbaik di dunia dalam melakukannya," kata Arteta.

"Ia satu perlawanan bola sepak yang amat luar biasa dengan dua pasukan yang beraksi di satu tahap lebih tinggi."

Pemain Arsenal, Gabriel Martinelli (tengah) mengawal bola daripada halangan pemain Liverpool, Dominik Szoboszlai pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Arsenal, Gabriel Martinelli (tengah) mengawal bola daripada halangan pemain Liverpool, Dominik Szoboszlai pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Arsenal akan menghabiskan Hari Krismas di puncak liga buat musim kedua berturut-turut, sekalipun mereka mungkin akan diatasi sebelum beraksi sekali lagi awal pagi Jumaat ini.

Liverpool dan Aston Villa, masing-masing satu mata di belakang, akan beraksi awal pagi Rabu ini.

"Saya gembira untuk berada di mana kami sekarang. Esok kami akan bergembira dengan makan malam istimewa bersama keluarga, kemudian kembali turun bekerja," kata Arteta. – REUTERS

Berita Harian X