Jumaat, 22 Disember 2023 | 4:38pm
Pemain Harimau Malaya B-23 menjalani latihan di Shanghai menjelang aksi menentang China B-23
Pemain Harimau Malaya B-23 menjalani latihan di Shanghai menjelang aksi menentang China B-23

'Ikut taktikal Harimau Malaya hadapi China B-23'

KUALA LUMPUR: Aksi berdepan skuad bawah 23 (B-23) tahun China, esok dan Selasa ini bukan sekadar aksi persahabatan atau sesi pendedahan buat Harimau Malaya B-23.

Sebaliknya, pemain negara, Mohd Aiman Afif Md Afizul menjelaskan bahawa pasukannya turut mengintai untuk mendapat keputusan positif berdepan skuad kendalian Dejan Durdevic.

Pemain Kedah Darul Aman (KDA) itu berkata, dia dan rakan sepasukan akan menggunakan segala yang diterapkan ketua jurulatih, Juan Torres Garrido dalam dua aksi yang akan berlangsung di Shanghai.

"Bagi saya perlawanan menentang China pendedahan untuk kita dan pada masa yang sama kita akan usaha untuk dapatkan keputusan yang positif.

"Untuk perlawanan kali ini kita akan cuba gunakan apa yang kita lakukan dalam latihan. Sekarang ini taktikal lebih kurang sama, kita ikut taktikal pasukan senior.

"Setiap jurulatih ada falsafah tersendiri, tetapi dekat sini (pasukan B-23) kita ikut taktikal sama dengan pasukan senior," katanya.

Skuad B-23 negara pernah berdepan skuad B-23 China pada kelayakan Piala Asia B-23 pada 2019 yang mana kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Dua aksi berdepan negara Tembok Besar itu menjadi medan ujian buat Harimau Malaya B-23 sebagai persiapan ke Piala Asia 2024 yang akan berlangsung di Qatar, April depan.

Pada kejohanan itu, skuad kendalian Garrido diundi dalam Kumpulan D bersama juara dan naib juara 2018, Uzbekistan dan Vietnam selain Kuwait turut diundi dalam kumpulan sama.

Berita Harian X