Jumaat, 22 Disember 2023 | 12:51pm
Hamidin bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino di Jeddah.
Hamidin bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino di Jeddah.

Dua acara di Jeddah kukuhkan hubungan bola sepak Asia, dunia

KUALA LUMPUR: Dua acara iaitu Sidang Kemuncak Bola Sepak Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) dan mesyuarat exco Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kali ketiga di Jeddah, Arab Saudi mampu mengeratkan hubungan sukan itu di peringkat Asia dan dunia.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Ahli Majlis FIFA optimis hubungan bola sepak Asia dan dunia bertambah erat memandangkan kedua-dua acara berkenaan diadakan seiring dengan pertandingan Piala Kelab Dunia FIFA yang berlangsung bermula 12 Dis dan dijadual berakhir hari ini.

"Bagi saya, pertemuan dan mesyuarat ini mampu mengeratkan hubungan persaudaraan bola sepak Asia dan dunia kerana ia diadakan di Jeddah bersempena dengan Piala Kelab Dunia FIFA dan Sidang Kemuncak Bola Sepak FIFA," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook FAM hari ini.

Ahli jawatankuasa eksekutif AFC itu pada masa sama berkata mesyuarat exco AFC juga meluluskan pembentukan Pasukan Petugas Pembaharuan AFC untuk tadbir urus yang baik.

Selain Sidang Kemuncak Bola Sepak FIFA dan mesyuarat exco AFC, Hamidin turut menghadiri mesyuarat majlis FIFA Ahad lepas, juga di Jeddah.

Antara butiran penting diputuskan ahli majlis pada mesyuarat itu ialah mengesahkan Piala Dunia Kelab FIFA kini dikenali sebagai Mundial de Clubes FIFA dengan penampilan kelab daripada setiap enam konfederasi iaitu Afrika, Asia, Eropah, Amerika Utara, Tengah dan Caribbean, Amerika Selatan serta Oceania.

Perubahan itu bermula secara efektif pada 2025 yang menyaksikan Amerika Syarikat sebagai tuan rumah.

Ahli majlis juga memutuskan Chile akan menjadi tuan rumah untuk Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2025, manakala Poland akan menjadi hos Piala Dunia Wanita B-20 2026.

Juara Liga Juara-Juara Eropah 2022/2023 dari England, Manchester City bakal membuat perhitungan menentang pemenang Copa Libertadores 2023 dari Brazil, Fluminense dalam aksi final Piala Kelab Dunia FIFA 2023 di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X