Khamis, 21 Disember 2023 | 9:23am
Pemain tengah Barcelona, Sergi Roberto (kanan) meraikan gol ketiga dan kemenangan 3-2 pasukannya ke atas Almeria pada aksi La Liga Sepanyol di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto AFP
Pemain tengah Barcelona, Sergi Roberto (kanan) meraikan gol ketiga dan kemenangan 3-2 pasukannya ke atas Almeria pada aksi La Liga Sepanyol di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto AFP

Roberto selamat maruah Barca

BARCELONA: Dua gol sumbangan Sergi Roberto pada babak kedua membantu kemenangan 3-2 di laman sendiri buat penyandang juara Barcelona ke atas kelab tercorot Almeria pada aksi La Liga awal pagi tadi, menamatkan rentetan tiga aksi tanpa menang dalam semua pertandingan ketika mereka menuju ke rehat Krismas.

Barcelona, yang seri 1-1 di Valencia dan tewas 4-2 di laman sendiri kepada pendahulu Girona dalam dua perlawanan terakhir liga, melonjak ke tangga ketiga dengan 38 mata daripada 18 perlawanan.

Mereka ketinggalan enam mata di belakang Girona dan empat mata berbanding pasukan tangga kedua, Real Madrid, yang masing-masing bertandang ke Real Betis dan Alaves awal pagi esok.

"Kami lebih banyak menderita berbanding apa yang saya jangkakan dan daripada yang sepatutnya," kata jurulatih Xavi Hernandez.

"Kami melakukan 30 percubaan dan dibolosi dua gol. Babak pertama tidak boleh diterima buat saya sebagai jurulatih. Babak kedua, ya. Kami banyak kali gagal dan mengharungi keperitan ini bagi tempoh sebulan setengah atau dua bulan.

Pemain Barcelona, Sergi Roberto (tengah) menjaringkan gol ketiga dan kemenangan ke atas Almeria pada aksi La Liga Sepanyol di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Barcelona, Sergi Roberto (tengah) menjaringkan gol ketiga dan kemenangan ke atas Almeria pada aksi La Liga Sepanyol di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Pasukan ini kekurangan jiwa. Pasukan tidak mempunyai jiwa seperti musim lalu. Sama ada dari segi bertindak agresif mahupun tumpuan... Babak kedua adalah Barca yang saya mahukan."

Barcelona mendominasi babak pertama tetapi mensia-siakan majoriti 15 peluang yang dicipta - lima daripadanya tepat ke sasaran - dan perlawanan itu terikat ketika rehat selepas penyerang Almeria, Leo Baptistao memadamkan gol pembukaan Raphinha.

Raphinha meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-33, menampan masuk bola muntah dari jarak dekat, selepas penjaga gol Almeria, Luis Maximiano menafikan tandukan pemain pertahanan Ronald Araujo susulan sepakan sudut.

Namun pelawat menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat apabila Baptistao menjaringkan gol menerusi sepakan lambung, gol yang pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid tetapi pengadil mengubah keputusannya selepas semakan VAR.

Roberto kembali meletakkan Barca mendahului selepas sejam, menanduk masuk sepakan sudut sebelum Edgar Gonzalez menyamakan kedudukan sekali lagi buat Almeria dan kemudian Roberto memastikan gol kemenangan apabila mengelirukan Maximiano dari jarak dekat.

Pemain sayap berusia 31 tahun itu menyumbat dua gol buat kali pertama dalam kariernya bersama Barcelona dalam semua pertandingan, sesudah beraksi lebih 350 perlawanan bersama kelab Catalunya itu. – REUTERS

Berita Harian X