Khamis, 21 Disember 2023 | 8:25am
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane (kanan) menjaringkan gol kedua pasukannya ketika bertemu VfL Wolfsburg pada aksi Bundesliga di Arena Volkswagen, Wolfsburg awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane (kanan) menjaringkan gol kedua pasukannya ketika bertemu VfL Wolfsburg pada aksi Bundesliga di Arena Volkswagen, Wolfsburg awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Kane 'tak sabar' rehat musim sejuk Bundesliga

WOLFSBURG, Jerman: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane berkata dia "tidak sabar" untuk menikmati rehat musim sejuk pertamanya selepas menjaringkan gol kemenangan ketika pasukannya menang 2-1 ke atas Wolfsburg di laman lawan awal pagi tadi.

Kane, 30, menjaringkan gol kedua Bayern selepas Jamal Musiala membuka tirai jaringan, dengan kapten Wolfsburg, Max Arnold mengurangkan defisit jaringan sejurus sebelum rehat.

Kemenangan itu menyaksikan Bayern ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Bayer Leverkusen sekalipun kelab Bavaria itu beraksi kurang satu perlawanan.

"Saya tak sabar secara jujurnya, saya benar-benar menantikannya," kata Kane.

"Agak sukar di sini tanpa keluarga selama empat bulan ini, tanpa anak-anak dan tanpa isteri di sisi," katanya.

Kane berpindah ke Bayern dari Tottenham Hotspur pada Ogos lalu, dengan keluarganya kekal di London.

Kapten England itu sudah menjaringkan 25 gol dalam 22 perlawanan bagi semua pertandingan sejak perpindahan itu.

Penyerang Bayern Munich, Harry Kane meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas menundukkan Wolfsburg 2-1 pada aksi Bundesliga di Arena Volkswagen, Wolfsburg awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas menundukkan Wolfsburg 2-1 pada aksi Bundesliga di Arena Volkswagen, Wolfsburg awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Ia hanya mengenai menghabiskan masa bersama mereka, beberapa masa berkualiti."

Kane menginap di bilik hotel dalam beberapa bulan pertamanya di ibukota Bavaria itu, sebelum berpindah ke rumah pada awal bulan ini.

"Apabila kami kembali setiap orang akan berpindah ke Jerman, sesuatu yang menyeronokkan."

Tidak seperti Liga Perdana Inggeris, bola sepak Jerman berehat seketika pada setiap musim sejuk, dengan percutian musim ini berlanjutan lebih daripada tiga minggu.

"Kami akan pergi ke tempat yang panas, jadi kami akan menghabiskan masa 10 hari dan berseronok," kata Kane.

"Saya akan menghantar mesej kepada rakan saya di England dengan gambar saya berjemur di pantai." – AFP

Berita Harian X