Rabu, 20 Disember 2023 | 4:20pm
Tunku Ismail mengucup Piala Malaysia selepas JDT menjuarainya baru-baru ini.
Tunku Ismail mengucup Piala Malaysia selepas JDT menjuarainya baru-baru ini.

TMJ 'sindir' Selangor?

KUALA LUMPUR: Kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) 'menyapu bersih' semua trofi domestik pada musim ini membuka pintu kepada pasukan lain untuk turut beraksi di pentas Asia.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi komen di laman sosial berkata, ia juga turut dibantu dengan kerja keras skuad Harimau Selatan yang menghimpun mata demi mata apabila beraksi di pertandingan Asia selama ini.

"Kita tenang saja, tak macam orang 'jakun'. Kalau JDT tak menang liga, Piala FA, Piala Malaysia, tak merasa ke Asia yang ada tu. Yang main ACL Elite (ACLE) ni pun setiap tahun main Asia, 'relax' saja.

"Itulah mentaliti JDT. Malaysia dapat main ACL pun pasal siapa kalau tak JDT menyumbang mata," tulis Tunku Ismail.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Esteban Solari akan beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bagi musim 2024/25 selepas menjuarai Liga Super musim ini.

Namun disebabkan JDT juga turut merangkul Piala FA pada musim ini, satu lagi slot iaitu slot ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) diberikan kepada naib juara Liga Super iaitu Selangor FC (SFC).

Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail memaklumkan kejayaan SFC adalah hasil ideanya yang mencadangkan nama Tan Cheng Hoe selaku pengendali pasukan itu.

"Tan Cheng Hoe pun siapa yang 'recommend' masa perjumpaan di Hotel Hyatt KL? Manusia ni cepat lupa. Kadang kala dalam hidup ni jangan segan nak ucap terima kasih.

"Selamat malam keluarga JDT ku. Raja bola sepak zaman profesional," katanya.

Berita Harian X