Rabu, 20 Disember 2023 | 11:18am
Kontrak Rizal Ghazali bersama Sabah FC difahamkan berakhir pada 31 Disember ini. – Foto Facebook Sabah FC
Kontrak Rizal Ghazali bersama Sabah FC difahamkan berakhir pada 31 Disember ini. – Foto Facebook Sabah FC

Rizal, Irfan Zakaria tinggalkan Sabah

KOTA KINABALU: Pemain sayap Sabah FC, Rizal Ghazali sah meninggalkan skuad Sang Badak selepas menamatkan kontraknya bersama pasukan itu musim ini.

Sebelum ini, dia dikhabarkan akan kembali ke Semenanjung selepas selesai perlawanan terakhir Liga Super, namun belum ada kepastian mengenai pasukan baharunya.

Perkembangan mengenai Rizal itu didedahkan sendiri oleh ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee melalui perkongsian di akaun Instagram beliau.

Kim Swee mengucapkan terima kasih kepada Rizal dan seorang lagi pemain yang akan meninggalkan pasukan bimbingannya, Irfan Zakaria.

"Ia satu musim yang panjang dan sukar tetapi sangat bermakna bagi Sabah FC. Walaupun berdepan beberapa cabaran, kami dapat meraih tempat ketiga dalam Liga Super dan layak lebih awal ke peringkat kalah mati Piala AFC.

"Sebagai jurulatih, saya tahu pemain kelab datang dan pergi dan hari ini saya mengucapkan terima kasih kepada Amri Yahyah, Rizal Ghazali dan Irfan Zakaria atas perkhidmatan dan komitmen mereka kepada kelab.

"Begitu juga pembantu jurulatih saya, Rastislav Bozik dan jurulatih fizikal, Martin Stano. Tidak dilupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Marzuki Nasir yang begitu menyokong sepanjang tempoh saya di sini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada musim yang unik ini," katanya.

Berita Harian X