Rabu, 20 Disember 2023 | 7:29am
Pemain tengah Manchester City, Mateo Kovacic (kanan) menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menentang Urawa Red Diamonds pada separuh akhir Piala Dunia Kelab di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah awal pagi tadi. – Foto REUTERS

City selangkah lagi muncul juara dunia

JEDDAH: Manchester City terpaksa berjuang tanpa Erling Haaland ketika mereka mengidam untuk menjulang Piala Dunia Kelab buat kali pertama pada aksi final menentang Fluminense awal pagi Sabtu ini.

Juara Eropah itu melupakan persembahan hambar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk mengatasi juara Asia, Urawa Red Diamonds dari Jepun 3-0 pada separuh akhir di Jeddah awal pagi tadi.

Haaland hanya mampu memerhati dari bangku penonton ketika Mateo Kovacic (minit ke-52) dan Bernardo Silva (m-59) meledak gol buat City selepas gol sendiri Marius Hoibraten (m-45+1) membantu mereka mendahului.

Pemain Norway itu bagaimanapun masih mencetus sorakan terbesar daripada penonton di Stadium King Abdullah Sports City apabila dia melambai ke arah penonton ketika wajahnya terpampang di skrin gergasi ketika babak pertama.

Namun bos City, Pep Guardiola mengesahkan penjaring gol terbanyaknya itu akan terlepas final dan tidak tahu bila Haaland boleh cergas untuk kembali beraksi.

Pemain Manchester City, Erling Haaland (dua dari kiri) hanya mampu menyaksikan perlawanan dari bangku penonton ketika menentang Urawa Reds pada separuh akhir Piala Dunia Kelab di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah awal pagi tadi. – Foto AFP

Pemain berusia 23 tahun itu sudah terlepas empat perlawanan kerana masalah kecederaan kaki.

City hanya menang sekali dalam enam aksi terakhir EPL sekali gus ketinggalan di belakang Arsenal dan Liverpool dalam perebutan kejuaraan.

Mereka akan berdepan Everton yang beraksi cemerlang sekembali ke England pada 27 Disember ini.

"Erling masih tidak boleh berlatih," kata Guardiola selepas Haaland diketepikan daripada skuad City.

Peraturan kejohanan menyatakan hanya 23 pemain yang disenaraikan pada separuh akhir dibenarkan beraksi pada final.

Penjaga gol Manchester City, Ederson mengekang asakan pemain Urawa Reds, Marius Hoibraten pada separuh akhir Piala Dunia Kelab di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah awal pagi tadi. – Foto AFP
Penjaga gol Manchester City, Ederson mengekang asakan pemain Urawa Reds, Marius Hoibraten pada separuh akhir Piala Dunia Kelab di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah awal pagi tadi. – Foto AFP

Kevin De Bruyne turut terlepas aksi final sekalipun kembali berlatih kelmarin selepas empat bulan berehat kerana kecederaan hamstring.

"Gembira untuk layak ke final menentang Fluminense. Ia langkah terakhir untuk memenangi kejuaraan, satu-satunya trofi yang belum dimiliki pasukan, jadi kami akan cuba memenanginya," jelas Guardiola.

"Ramai pemain kami sedar jurang yang besar antara pasukan EPL dan pasukan kami," kata jurulatih Urawa, Maciej Skorza.

"Kami memang jangkakan lawan akan menguasai pegangan bola tetapi kami merancang untuk melakukan serangan balas pantas. Mungkin perlawanan ini juga menunjukkan perbezaan besar aspek fizikal antara kedua-dua pasukan."

Pasukan Eropah kini tidak kalah dalam 21 perlawanan Piala Dunia Kelab sejak tahun 2012. – AFP

Berita Harian X