Selasa, 19 Disember 2023 | 5:24pm
Pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim meraikan gol pertama pasukannya ketika menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). -NSTP/ASWADI ALIAS
Pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim meraikan gol pertama pasukannya ketika menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). -NSTP/ASWADI ALIAS

Faisal konsisten bantu Selangor, Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Dengan prestasi yang konsisten dalam saingan domestik bagi musim 2023, Faisal Halim pasti menjadi antara 'muka tetap' dalam barisan skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala Asia di Qatar, bulan depan.

Meskipun baru menyertai Selangor FC (SFC) pada musim ini daripada Terengganu FC (TFC), pemain sayap lincah itu jelas menjadi pemain tempatan paling menyerlah bersama pasukan itu pada musim pertamanya di Lembah Klang.

Pemain berusia 25 tahun itu meledak 12 gol dalam saingan Liga Super musim ini sekali gus menjadi penjaring tempatan terbanyak bersama bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang turut mencetak 12 gol.

Bersama sembilan bantuan gol yang dilakukan Faisal, ini bermakna dia terbabit dalam 21 daripada 72 gol dihasilkan 'The Red Giants' sepanjang kempen liga musim 2023.

Pengendali SFC, Tan Cheng Hoe mengakui Faisal menunjukkan aksi yang konsisten bukan sahaja ketika bersama SFC malah turut mengekalkan prestasinya ketika menyarung jersi skuad kebangsaan.

Namun Cheng Hoe mengakui persembahan Faisal itu turut dibantu dengan kerjasama yang mantap bersama rakan sepasukan dan gabungan itu berjaya membantu SFC menamatkan saingan musim ini sebagai naib juara Liga Super.

"Apa yang penting adalah Faisal bersama rakan sepasukan yang memiliki persefahaman yang baik dan semangat berpasukan. Jadi itulah yang membantu dia begitu konsisten pada musim ini.

"Namun ada banyak lagi ruang untuk dia meningkatkan lagi prestasi dan secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pencapaian pasukan pada tahun ini," kata Cheng Hoe.

Perkembangan terbaharu menyaksikan Faisal menjadi antara 26 pemain yang dipanggil jurulatih, Kim Pan Gon untuk menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi Piala Asia 2023, bulan depan.

Berita Harian X