Isnin, 18 Disember 2023 | 3:38pm
Pemain Terengganu FC, Engku Shakir meraikan gol ketika menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. - NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC, Engku Shakir meraikan gol ketika menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. - NSTP/GHAZALI KORI

Tommy sasar pencapaian lebih baik musim depan

KUALA TERENGGANU: Selepas menandatangani kontrak baharunya semalam, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mahu mencipta pencapaian lebih baik pada musim depan.

Jelas jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu, bagi memastikan matlamat berkenaan dapat direalisasikan, beliau tidak akan melakukan perubahan dan rombakan besar dalam pasukan sebagai persediaan menjelang aksi Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan pada April tahun depan.

Steinbruckner menjelaskan, beliau akan membawa masuk beberapa pemain baharu di posisi tertentu bagi memperkasakan lagi pasukannya terutama pada musim depan pihak pengurusan berhajat untuk mengurangkan jumlah pemain import berbanding sembilan pemain pada musim ini.

"Musim pertama saya bersama TFC, pencapaian tidak begitu mengecewakan, dalam saingan Piala Malaysia kita berjaya muncul naib juara selepas tumpas 3-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), saingan Piala FA kita terkandas di separuh akhir dengan penentuan sepakan penalti.

"Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) walaupun gagal ke peringkat separuh akhir, tapi kita tidak kalah dalam semua enam perlawanan dan berjaya menghuni di tangga kedua Kumpulan G.

"Namun sedikit mengecewakan dalam Liga Super kita menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas impian awal untuk menghuni dalam tiga kelompok teratas tidak berjaya.

"Berdasarkan pencapaian berkenaan, kami perlu bekerja lebih kuat lagi pada musim depan kerana sasaran kita sudah pasti pencapaian yang lebih baik berbanding musim ini," katanya.

Berita Harian X