Ahad, 17 Disember 2023 | 11:26pm
Pemain Sabah FC, Mohd Irfan Fazail bersama rakan sepasukan Ramon Machado meraikan jaringan pasukan ketika menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas malam ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Pemain Sabah FC, Mohd Irfan Fazail bersama rakan sepasukan Ramon Machado meraikan jaringan pasukan ketika menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas malam ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

Sabah rampas tangga ketiga Liga Super

KOTA KINABALU: Sabah menepati sasaran untuk merampas kedudukan ketiga saingan Liga Super 2023 selepas membenam Kedah 2-0 di Stadium Likas, malam ini.

Kedua-dua jaringan dihasilkan pada separuh masa pertama, kedua-duanya hasil gandingan Irfan Fazail dan Ramon Machado.

Gol pertama pada minit ketujuh disempurnakan Irfan dengan kuisan kakinya selepas menerima hantaran daripada Ramon.

Seterusnya, pada minit ke-42, Ramon pula berjaya mencipta jaringan kedua menerusi tandukannya ketika menyambut bola yang terbias akibat terkena tiang gol Kedah selepas cubaan Irfan tersasar.

Aksi Ramon dan Irfan berjaya mengelirukan penjaga gol Kedah, Kalamullah al-Hafiz menyebabkan gawangnya dibolosi ketika situasi agak kucar kacir di kawasan petak penalti.

Keputusan 2-0 yang berpihak kepada Sang Badak itu kekal hingga tamat babak pertama dengan dua minit tambahan masa diberikan pengadil.

Secara keseluruhan, aksi kedua-dua pasukan di hadapan kira-kira 12,000 penonton hampir seimbang, namun Sabah lebih banyak melakukan cubaan bermula seawal minit pertama.

Namun, beralih ke babak kedua permainan, Kedah kelihatan memulakan perlawanan dengan lebih agresif dalam usaha mereka untuk mencari gol.

Pemain Sabah pula lebih banyak mengambil peluang melakukan serangan balas menerusi kesilapan pemain Kedah, namun cubaan-cubaan yang dilakukan tidak menepati sasaran.

Begitu juga pasukan lawan yang turut mencipta beberapa percubaan menarik, namun masih gagal mencipta gol berikutan kekebalan pertahanan Sabah.

Sementara itu, Mohd Amri Yahyah yang akan bersara selepas perlawanan malam ini, sempat mempersembahkan aksi terakhirnya bermula pada minit ke-84 menggantikan Saddil Ramdani.

Pemain digelar Ketua Kampung Likas itu turut diberi penghormatan selaku kapten pasukan menggantikan Park Taesu yang direhatkan dan diganti Rawilson Batuil.

Walaupun tidak berhasil mencipta gol, Amri berjaya melakukan cubaan berbahaya yang hampir menghasilkan jaringan jika tidak digagalkan Kalamullah pada minit ke-88.

Amri turut berpeluang membantu rakan pasukan melancarkan serangan terhadap Kedah hingga ke minit kecederaan, namun keputusan separuh masa kedua kekal tanpa jaringan.

Berikutan itu, Sabah mengesahkan kedudukan di tangga ketiga saingan Liga Super musim ini dengan jaringan 2-0, berjaya merampasnya daripada Kedah yang terpaksa berpuas hati menduduki tangga keempat.

Berita Harian X