Ahad, 17 Disember 2023 | 11:14pm
Pemain Negeri Sembilan FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi diasak pemain Kuching City FC, Yuki Tanigawa pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - BERNAMA
Pemain Negeri Sembilan FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi diasak pemain Kuching City FC, Yuki Tanigawa pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - BERNAMA

Negeri Sembilan tumbang di Paroi

SEREMBAN: Hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan kemenangan tidak kesampaian apabila tewas kepada Kuching City FC 4-1, dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Tampil mempertaruhkan hampir 100 peratus tenaga tempatan kecuali seorang pemain import pinjaman dari Selangor FC, Hein Htet Aung, jelas skuad Hobin Jang Hobin gagal mempamerkan persembahan mantap seperti dipamerkan pada dua aksi sebelum ini menentang PDRM FC dan Kelantan United FC.

Meskipun dapat memulakan tirai perlawanan dengan meraih gol pertama menerusi Mohamad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit keempat, namun kelebihan itu gagal bertahan.

Sebaliknya, skuad bimbingan Aidil Sharin dilihat beraksi lebih agresif dan menggandakan kekuatan dengan melakukan serangan ke kubu Negeri Sembilan bagi mendapatkan jaringan.

Pelawat mendapat peluang menerusi percubaan Mohamad Alif Hassan pada minit ke-28, namun sepakan kapten pasukan itu sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol tuan rumah.

Percubaan kemudiannya menerusi Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-32 ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman manakala percubaan Petrus Shitembi dari jarak kira-kira 25 meterpada minit ke-35 pula, terkena palang.

Usaha Kuching City untuk mendapatkan gol penyamaan akhirnya terhasil menerusi sepakan cantik Bruno De Araujo Dybal dari luar kotak penalti pada minit ke-43.

Pelawat kemudiannya melebarkan lagi penguasaan mereka apabila menjaringkan gol kedua sebaik bersambung babak kedua pada minit ke-46 menerusi tandukan Yuki Tanigawa yang menyudahkan dengan baik tendangan sudut diambil Bruno Dybal.

Pedro Henrique kemudian menambah derita Negeri Sembilan apabila menjaringkan gol ketiga buat Kuching City pada minit ke-54, hasil kesilapan pertahanan tuan rumah yang gagal mengawal kemas bola dalam kawasan gol.

Gol keempat pelawat dijaringkan Bruno Dybal pada minit ke-73 hasil sepakan bola mati dari luar kotak penalti.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Negeri Sembilan dengan menamatkan saingan musim ini di tangga kesembilan carta.

Berita Harian X